KUALA LUMPUR, 22 Okt (Bernama) -- Kementerian Pertahanan memaklumkan kesemua 41 pesakit rakyat Palestin yang dibawa ke Malaysia bagi tujuan perubatan telah menerima rawatan sewajarnya.
Menurut jawapan bertulis di laman sesawang Parlimen Malaysia, kementerian itu memaklumkan kesemua mereka menerima rawatan daripada doktor pakar dan staf perubatan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di Hospital Angkatan Tentera (HAT) Tuanku Mizan membabitkan Bahagian Ortopedik, Pediatrik dan Obstetrik dan Ginekologi.
“Hingga 6 Okt 2024, kesemua pesakit telah menerima rawatan sewajarnya dan 37 orang telah dibenarkan keluar wad dan masih berbaki empat pesakit masih lagi dalam rawatan,” menurut kementerian itu.
Kementerian Pertahanan menjawab soalan Datuk Seri Sh Mohmed Puzi Sh Ali (BN-Pekan) mengenai perkembangan terkini rawatan dan pemulihan rakyat Palestin yang dibawa masuk ke Malaysia bagi tujuan perubatan dan bentuk rawatan serta pendirian kerajaan terhadap sentimen ekstrem mempertikaikan usaha itu dengan mengatakan tindakan berkenaan adalah bertujuan survival politik.
Sejak 16 Ogos lepas, Kementerian Pertahanan melalui ATM membawa 41 pesakit rakyat Palestin bersama 86 waris ke Malaysia menggunakan pesawat Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).
Kementerian Pertahanan menafikan dakwaan bahawa usaha kerajaan membawa masuk rakyat Palestin ke Malaysia adalah bagi tujuan politik sebaliknya mengatakan bahawa tindakan berkenaan kerana kerajaan sentiasa mengambil berat keadan rakyat Palestin yang ditindas sejak berdekad lamanya.
“Kerajaan mengecam tindakan keganasan oleh Israel Defence Force (IDF) terhadap rakyat Palestin khususnya di Gaza sejak 7 Okt 2023, yang menyebabkan 96,625 orang cedera dan 41,689 orang awam terkorban dengan 70 peratus daripada mereka adalah wanita dan kanak-kanak,” menurut kenyataan itu.
Kementerian Pertahanan memaklumkan atas dasar kemanusiaan dan solidariti bersama rakyat Palestin, kerajaan mengambil inisiatif membantu sebilangan daripada mereka yang menjadi mangsa perang untuk diberikan rawatan, pembedahan dan pemulihan sewajarnya.
Menurut kementerian itu, misi bantuan kemanusiaan dilaksanakan beirkutan kelumpuhan sistem kesihatan di Gaza akibat serangan IDF yang berterusan.
“Justeru, kerajaan berpandangan bahawa misi bantuan kemanusiaan terhadap rakyat Palestin merupakan usaha murni yang wajar disokong oleh semua rakyat Malaysia tanpa mengira perbezaan fahaman agama, kaum dan politik,” menurut kenyataan itu.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial