WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Empat Beradik Sambut Deepavali Dalam Kerinduan, Ibu Pergi Akibat COVID-19

22/10/2024 09:17 PM

SEREMBAN, 22 Okt (Bernama) -- Kehilangan ibu, G. Tamilselvi tiga tahun lepas akibat COVID-19 masih memberi kesan kepada empat beradik yang sentiasa merindui insan tersayang itu terutamanya menjelang perayaan Deepavali yang akan disambut tidak lama lagi.

Apatah lagi M. Ranjini, 17, serta tiga lagi adiknya terputus hubungan dengan bapa kandung sejak sembilan tahun lepas dan kini hanya menumpang teduh di rumah datuk mereka S. Gunasigaram, 61, yang uzur dan tidak bekerja.

Anak sulung itu terpaksa menguatkan semangat demi menjaga perasaan adiknya yang lain, iaitu Sumen Raj, 15, Kishor Raj, 14, dan Bhuvana Raj berusia 10 tahun yang terlalu merindui ibunya dan tose air tangan ibunya setiap kali Deepavali.

"Kami rindukan mak … apabila Deepavali mak akan masak pelbagai jenis kuih, sediakan baju kami, tetapi sekarang tiada lagi. Baju raya pun kami tidak beli.

"Saya kini bergantung ihsan dengan ibu saudara yang banyak membantu kami adik-beradik untuk meneruskan kehidupan termasuk persekolahan kami semua," katanya kepada pemberita di rumah datuknya di Taman Bukit Mutiara di sini hari ini.

Ranjini yang bercita-cita menjadi seorang guru itu berazam untuk belajar bersungguh-sungguh bagi mengubah nasib keluarganya.

Kesusahan empat beradik itu turut mendapat perhatian Pengerusi Yayasan Keluarga Malaysia (YKM) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang menyantuni keluarga itu hari ini.

Bekas Perdana Menteri berkata YKM menyediakan peruntukan sebanyak RM10,900 setahun secara berperingkat bagi meringankan beban keluarga berkenaan.

"Mereka berhadapan dengan dugaan yang cukup besar untuk meneruskan kelangsungan hidup. Situasi ini pasti memberikan kesan jangka panjang kepada anak-anak ini jika kita tidak memberikan perhatian yang serius kepada masa depan mereka. 

“Kita tidak boleh menutup mata atau mengabaikan nasib anak yatim dan yatim piatu COVID-19 seperti ini yang berada di sekeliling kita,” katanya.

Ismail Sabri berkata selain Ranjini dan adik-adiknya, YKM turut memberikan sumbangan kepada sembilan lagi keluarga mangsa COVID-19 yang merayakan sambutan Hari Deepavali nanti.

Sembilan keluarga terbabit terdiri daripada lima di Selangor, dua (Negeri Sembilan) dan masing-masing satu keluarga di Melaka dan Pahang akan menerima sumbangan daripada yayasan.

YKM ditubuhkan pada 2021 dengan memperuntukkan sebanyak RM5 juta setahun untuk terus membantu hampir 1,000 anak yatim dan yatim piatu merentasi agama dan bangsa melalui Bantuan Kasih YKM,  Bantuan Persekolahan, Bantuan Menara Gading dan Hadiah Kecemerlangan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) serta pengurusan. 

Dalam pada itu, Ahli Parlimen Bera itu memberitahu YKM sedang meneliti bantuan kepada anak yatim atau yatim piatu yang kehilangan ibu bapa mereka akibat kemalangan, dan melihat keperluan untuk membantu mereka pada masa akan datang.

-- BERNAMA 

 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan