TAIPING, 24 Okt (Bernama) -- Masyarakat disaran untuk meneroka peluang perniagaan baharu dengan menukarkan bahan buangan kepada sesuatu yang lebih bermanfaat sekali gus mengurangkan pembuangan bahan tersebut.
Pengerusi Jawatankuasa Sains, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Negeri Perak Teh Kok Lim berkata sisa plastik sebagai contoh, boleh dikitar semula dan diubah menjadi resin yang boleh dijual serta digunakan untuk menghasilkan produk plastik lain, sekali gus mengurangkan jumlah sampah dalam ekosistem.
Beliau berkata perkara itu perlu diberi perhatian kerana ia dapat membantu kerajaan menangani masalah pencemaran alam sekitar selain mengurangkan penghasilan sisa buangan dan sampah di tapak pelupusan sampah.
"Konsep dan tujuannya adalah sama, di mana kita cuba menukarkan bahan buangan kepada benda yang lebih bernilai melalui kaedah pemulihan sumber iaitu konsep 5R (Kurangkan, Guna Semula, Kitar Semula, Ganti Semula, Pulih Semula).
"Sisa pepejal jika digabungkan dengan kreativiti, boleh menghasilkan produk yang baik dan berkualiti dan itulah sebabnya kita galakkan masyarakat dan pengusaha menceburi bidang ini," katanya dalam ucapan perasmian yang dibacakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pokok Assam Ong Seng Guan pada program Kempen Hindari Penggunaan Polisterina dan Plastik Sekali Guna di Pasar Awam Aulong dekat sini hari ini.
Turut hadir pada majlis itu ialah Pengarah Perlesenan dan Penguatkuasaan Majlis Perbandaran Taiping (MPT), Roslee Ahmad Rafie dan Pengerusi Jawatankuasa Kempen Hindari Penggunaan Polisterina dan Plastik Sekali Guna, Muhammad Hafiz Othman.
Teh berkata, pelaksanaan kempen itu adalah bagi memperluaskan pelaksanaan pelan tindakan Dasar Kebersihan Negara (DKN) bagi tahun 2024 di peringkat negeri dan kerajaan tempatan khusus negeri-negeri yang tidak menerima pakai Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007 Akta 672.
"Antara tahun 1950 dan 2018, pengeluaran plastik global telah meningkat dari 1.7 hingga 360 juta metrik tan disebabkan permintaan yang tinggi kerana keistimewaan plastik adalah ia mudah dibentuk, sangat fleksibel, serba boleh dan keupayaan memenuhi banyak keperluan.
"Namun begitu, sekiranya sisa buangan plastik dihantar ke tapak pelupusan, dibakar atau diurus dengan salah ia akan memberi kesan negatif terhadap kelestarian alam sekitar, kesejahteraan masyarakat dan kedudukan ekonomi secara umum," katanya.
Katanya, memikirkan kepada bahayanya penggunaan polisterina dan beg plastik kepada kesihatan diri dan alam sekitar, sudah menjadi tanggungjawab semua pihak untuk mendidik serta menyedarkan orang sekeliling supaya menghindari penggunaan bahan tersebut.
"Kempen ini penting dalam memberi kesedaran dan membuka minda masyarakat tentang pengurusan sisa pepejal untuk kelestarian alam sekitar," katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial