WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Dua Pengamal Media Sabah Terima Sumbangan Tabung Kasih@HAWANA

24/10/2024 06:18 PM

KOTA KINABALU, 24 Okt (Bernama) -- Dua lagi pengamal media di Sabah menerima sumbangan daripada Tabung Kasih@HAWANA bagi membantu mereka yang berdepan kesukaran hidup dan masalah kesihatan.

Sumbangan itu disampaikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Nur-ul Afida Kamaludin kepada dua Pemberita Sambilan Bernama iaitu Emin Madi, 74, yang berdepan kesukaran hidup dan Ermmah Wati Atan, 45, yang mengidap kanser.

Nur-ul Afida berkata setakat ini 162 orang termasuk 17 individu di Sabah telah menerima manfaat Tabung Kasih @HAWANA sejak inisiatif itu diperkenalkan pada April tahun lepas, yang diwujudkan sempena sambutan Hari Wartawan Nasional (HAWANA).

"Alhamdulillah, hari ini Bernama bagi pihak Kementerian Komunikasi dapat menyampaikan sumbangan kepada dua penerima di Sabah dan kita cuba memenuhi permohonan-permohonan yang dikemukakan.

"Selaku urusetia Tabung Kasih@HAWANA kita telah memperluaskan kriteria sumbangan kepada pengamal media dan veteran media yang kemalangan, dan mengalami masalah seperti bencana alam seperti banjir atau kebakaran," katanya kepada Bernama selepas menyampaikan sumbangan berkenaan di sini hari ini.

Turut hadir Ketua Pengarang Bernama Arul Rajoo Durar Raj, dan Ketua Biro Bernama Sabah Fadzli Ramli.

Nur-ul Afida berkata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim telah meluluskan peruntukan RM1 juta untuk meneruskan program berkenaan.

"Kita juga telah menerima beberapa pertanyaan daripada gabungan kelab media Malaysia dan juga beberapa jawatankuasa yang mewakili kumpulan veteran media.

"Kita akan cuba bekerjasama dengan mereka dalam usaha mengesan dan menjejaki rakan-rakan media veteran atau pengamal media yang telah besara untuk membantu mereka. Kita harap dapat memperluaskan lagi bantuan ini kepada mereka yang memerlukan," katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan