WILAYAH - TIMUR > BERITA

Jenazah Empat Sekeluarga Selamat Dikebumikan

26/10/2024 03:31 PM

KUALA BERANG, 26 Okt (Bernama) -- Jenazah empat sekeluarga yang maut dalam nahas membabitkan lori dan kereta Perodua Myvi di KM86 Jalan Gua Musang-Lojing semalam, selamat dikebumikan pagi tadi.

Jenazah Mohd Junaizi Jusoh, 48, dikebumikan dalam satu liang lahad bersama anaknya Muhammad Fakrul Danish, 20, manakala isteri Mohd Junaizi, Shazwani Ismail, 39, dikebumikan bersama adiknya Farhana Ismail, 35, dalam satu liang pada 9.38 pagi tadi.

Suasana hiba menyelubungi Tanah Perkuburan Islam Kampung Payang Kayu di sini dengan kehadiran lebih 500 ahli keluarga, saudara-mara dan rakan termasuk dua anak Mohd Junaizi dan Shazwani iaitu Nur Jihan Irdina, 13, dan Nur Anis Zahra Nazihah,12.

Terdahulu, jenazah empat sekeluarga itu tiba di Masjid Kampung Payang Kayu di sini dari Hospital Gua Musang, Kelantan kira-kira 7 pagi dan selesai disolatkan pada 8 pagi.

Ibu kepada Shazwani dan Farhana, Hasmah Abu Bakar, 63, berkata dia tidak menyangka tindakan kedua-dua anaknya yang bersungguh-sungguh mengajaknya bercuti ke Cameron Highlands, Pahang menjadi petanda mereka akan pergi meninggalkannya.

“Shazwani nampak sangat teruja dan tidak sabar untuk tiba ke Cameron Highlands sehingga kami semua tidak singgah makan di mana-mana dan hanya makan roti di dalam kereta kerana mahu cepat sampai.

“Tetapi yang paling pelik ialah Farhana kerana selama ini kalau Kak Ngah dia (Shazwani) kata nak pergi Cameron Highlands, dia marah sebab selalu sangat pergi situ. Tetapi beberapa hari selepas diajak kakaknya, dia pun terus setuju,” katanya kepada pemberita.

Dia berkata rancangan percutian dua hari satu malam itu hanya dirancang oleh Shazwani pada Rabu lepas sebelum mereka sekeluarga bertolak kira-kira 8 pagi semalam dengan menaiki tiga kenderaan termasuk Perodua Myvi dipandu Farhana.

Selain empat sekeluarga itu turut maut pemandu lori G. Mageswara, 53.

Ketua Polis Daerah Gua Musang Supt Sik Choon Foo dilaporkan berkata siasatan awal mendapati kemalangan berlaku kira-kira 11 pagi apabila lori dari arah Cameron Highlands menghala ke arah Lojing hilang kawalan sebelum terbabas ke laluan bertentangan dan bertembung dengan kereta mangsa. 

Nahas itu menyebabkan kereta dinaiki empat mangsa terbabit terhumban ke dalam gaung manakala lori terbalik di jalan raya.   

 -- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan