WILAYAH - TIMUR > BERITA

Program Pelancongan Pendidikan UMPSA Tingkat Kesejahteraan Komuniti, Keupayaan Ekonomi

26/10/2024 06:05 PM

KUANTAN, 26 Okt (Bernama) -- Inisiatif Program Pelancongan Pendidikan (Edutourism) Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) yang menjadikan universiti ini sebagai hab pelancongan pendidikan utama di Pahang, menyumbang peningkatan kesejahteraan komuniti dan keupayaan ekonomi setempat.

Tengku Mahkota Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertitah program yang bermula pada Mei lepas telah berjaya menarik penyertaan lebih 150 peserta antarabangsa antaranya Indonesia, China, Yemen, Iraq, Palestin, Pakistan dan Mesir. 

“Saya juga sangat berbesar hati dengan inisiatif Program Pelancongan Pendidikan Edutourism UMPSA yang menjadikan UMPSA sebagai hab pelancongan pendidikan utama di negeri Pahang. 

“Program ini melibatkan pakej modul pembelajaran bahasa Inggeris serta elemen teknologi yang menerapkan budaya dan warisan serta mengunjungi tempat-tempat menarik khususnya di Pahang,” titah baginda. 

Tengku Hassanal yang juga Pro-Canselor UMPSA bertitah demikian pada Titah Diraja semasa menyempurnakan Majlis Konvokesyen UMPSA Ke-19 di Kompleks Sukan Utama UMPSA kampus Gambang di sini hari ini. 

Dalam pada itu, Tengku Hassanal menzahirkan penghargaan kepada universiti berkenaan dalam usaha mengangkat martabat golongan Orang Kurang Upaya dengan menyediakan pelbagai inisiatif dalam memberikan kesaksamaan hak kepada komuniti terbabit. 

Baginda juga turut mengingatkan lepasan universiti ini untuk tidak terlibat dengan sebarang aktiviti menyalahi undang-undang serta tidak lupa akan jasa ibu bapa yang telah bersusah payah membesarkan dan mendidik mereka sehingga berjaya menamatkan pengajian di menara gading. 

“Kepada para graduan, teruslah menyumbang jasa kepada negara dan negeri Pahang juga. Sekiranya mendapat temu duga pekerjaan, buat sehabis baik. Saya mahu graduan lepasan UMPSA menjadi rebutan kepada majikan di luar sana. 

“Sebut sahaja UMPSA, kualiti dan kecemerlangan graduan kita tidak akan dinafikan. Saya cukup yakin dengan keunggulan UMPSA sebagai peneraju pendidikan serta latihan teknikal dan vokasional aras tinggi yang mampu melahirkan graduan berkualiti,” titah baginda. 

Dalam majlis konvokesyen itu, Tengku Hassanal berkenan menganugerahkan gelaran Profesor Emeritus kepada Datuk Seri Dr Daing Nasir Ibrahim yang merupakan penganugerahan tertinggi akademik atas pelbagai sumbangan beliau kepada universiti dan pendidikan tinggi negara. 

Daing Nasir merupakan Naib Canselor UMPSA ketiga selama 11 tahun dari 2008 hingga 2019 dan ketokohannya terserlah apabila kini dilantik sebagai Rektor di Oxus University, Uzbekistan yang menyaksikan kecemerlangan beliau memimpin institusi terkemuka dalam memartabatkan pendidikan tinggi sama ada dalam negara mahupun antarabangsa. 

Beliau ketika ditemu ramah menzahirkan kesyukuran dan rasa rendah hati atas penganugerahan berkenaan yang disifatkannya sebagai satu penghormatan yang menjadi pengiktirafan kepada kerjaya akademiknya.

“ … (penganugerahan ini) juga melambangkan sokongan, kepercayaan dan dorongan yang saya terima sepanjang perjalanan kerjaya terutamanya di UMPSA. Saya amat menghargai penganugerahan ini dan mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua yang terlibat dan percaya UMPSA bakal mempunyai ramai lagi pemimpin yang layak dianugerahkan gelaran Profesor Emeritus pada masa akan datang,” katanya. 

Sementara itu, Naib Canselor UMPSA Prof Datuk Dr Yuserrie Zainudin berkata majlis konvokesyen kali ini yang berlangsung selama tiga hari bermula hari ini menyaksikan sebanyak 5,115 graduan menerima ijazah dan diploma masing-masing serta Doktor Falsafah (PhD). 

Beliau berkata daripada jumlah itu, 83 orang merupakan graduan PhD, sarjana (180), sarjana muda (2,538), ijazah dual (64), diploma (533) dan 1,717 graduan program pembelajaran sepanjang hayat UMPSA Advanced.

“Daripada 5,115 graduan, sebanyak 100 orang ialah graduan antarabangsa dari 19 negara. Pada majlis konvokesyen kali ini, buat kali pertama UMPSA dan Kazakh National Agrarian Research University (KazNARU), Kazakhstan akan menganugerahkan Ijazah Dual kepada tiga graduan,” katanya. 

UMPSA yang dahulunya dikenali sebagai UMP telah melahirkan 48,378 siswazah dalam pelbagai bidang pengajian pada peringkat prasiswazah dan pascasiswazah sejak majlis konvokesyen pertama pada 2006 dengan kadar kebolehpasaran graduan mencecah 97.3 peratus.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan