WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Perdana Menteri Ethiopia Berlepas Pulang Selepas Tamatkan Lawatan Ke Malaysia

26/10/2024 06:36 PM

SEPANG, 26 Okt (Bernama) -- Perdana Menteri Ethiopia Dr Abiy Ahmed Ali berlepas pulang hari ini selepas menamatkan lawatan rasmi dua hari ke Malaysia.

Abiy diberikan sambutan permaidani merah bagi upacara berlepas pulang serta kawalan kehormatan oleh pegawai dan anggota Batalion Pertama Rejimen Renjer Diraja (Infantri Istiadat).

Pesawat Ethiopian Airlines Boeing 777-200LR membawa beliau dan isteri, Wanita Pertama Zinash Tayachew Bere serta delegasi berlepas pada 5.15 petang dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur.

Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air Akmal Nasrullah Mohd Nasir turut hadir untuk mengucapkan selamat jalan.

Dalam lawatan sulungnya ke Malaysia sejak mengambil alih jawatan pada April 2018, Abiy pada pagi tadi menghadiri mesyuarat dua hala dengan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim di Kompleks Seri Perdana, Putrajaya dan bertukar pandangan mengenai isu-isu serantau serta antarabangsa yang menjadi kepentingan bersama.

Ethiopia dan Malaysia juga bersetuju untuk mempertingkat kerjasama dalam beberapa bidang utama termasuk pertanian, industri, perlombongan, perdagangan dan pelaburan.

Semalam, beliau turut melawat kilang Proton di Tanjung Malim, Perak. 

Ethiopia adalah rakan dagangan ke-26 terbesar Malaysia di benua Afrika, imbangan dagangan berpihak kepada Malaysia pada 2023.

Nilai perdagangan dua hala antara Malaysia dan Ethiopia direkodkan RM446.8 juta, dengan eksport Malaysia ke Ethiopia bernilai RM358.6 juta, mencatatkan peningkatan sebanyak 24.6 peratus berbanding tahun sebelumnya.

Produk yang dieksport Malaysia ke Ethiopia termasuk elektrik dan elektronik, minyak sawit serta barangan pertanian berasaskan minyak sawit, bahan kimia dan produk berasaskan bahan kimia, tekstil, pakaian dan kasut.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan