WILAYAH - SARAWAK > BERITA

MCMC Main Peranan Penting Dalam Transformasi, Tingkat Akses Penjagaan Kesihatan

25/10/2024 11:01 PM

KUALA LUMPUR, 25 Okt (Bernama) -- Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) memainkan peranan penting dalam meningkatkan transformasi dan merapatkan jurang dalam akses kepada penjagaan kesihatan.

Timbalan Pengarah Urusannya Datuk Zulkarnain Mohd Yasin berkata cabaran penting yang disasarkan untuk ditangani suruhanjaya itu adalah akses - yang sering dirujuk sebagai jurang ketersambungan dalam komunikasi, yang turut melibatkan jurang yang sama dalam penjagaan kesihatan, khususnya di luar bandar.

"Pada masa lalu, kita membina infrastruktur dan rangkaian komunikasi untuk merapatkan jurang ketersambungan. Kini kita melihat ini sebagai satu jambatan lain - kali ini dalam aspek menghubungkan penjagaan kesihatan ke kawasan luar bandar.

"... ketersambungan yang kita sediakan mesti ditambah dengan penyelesaian demi kesejahteraan rakyat kita dari segi penjagaan kesihatan, jadi kami cukup teruja, dan dalam bidang ini, kita melihat bukan sahaja untuk mengubah Telco kita kepada TechCos, tetapi juga mewujudkan platform untuk kerjasama antarabangsa bagi penyelesaian, serta melihat kemungkinan bekerjasama untuk mencipta platform bagi inovasi," katanya.

Beliau berkata demikian dalam forum bertajuk “The Next Frontier in Healthcare - Leveraging Future Financing, Strategies for Transformation and Flexible Models for Future-Ready Solutions” pada Persidangan Kesihatan Antarabangsa Malaysia (MIH) Megatrends 2024 di sini hari ini.

Seorang lagi ahli panel, Ketua Pegawai Komersial MEASAT Ganendra Selvaraj berkata usaha bagi mentransformasikan penjagaan kesihatan adalah mengenai usaha mewujudkan ekosistem yang komprehensif, oleh itu kerjasama dengan pihak berkepentingan utama seperti MCMC, Bank Negara (BNM) dan Kementerian Kesihatan (KKM) adalah penting untuk membina ekosistem ini.

Beliau berkata sokongan mereka, digabungkan pula dengan usaha ke arah penglibatan aspek kewangan, adalah penting untuk mencapai masyarakat luar bandar, khususnya mereka dalam kumpulan B40.

“Usaha mentransformasikan penjagaan kesihatan melibatkan langkah-langkah kecil tetapi bermakna sebagai satu ekosistem. Dengan merakam, mendigitalkan dan menganalisis data, kita boleh melaksanakan program yang disasarkan dalam bidang ini dan menggunakan pengetahuan yang kita ada sebagai penduduk bandar.

“Dengan penggunaan dron, kita boleh hantar ubat-ubatan ke kawasan ini, dan dengan menggunakan Kecerdasan Buatan (AI), dalam aspek penjagaan kesihatan kita boleh beralih daripada bentuk pencegahan kepada jangkaan. Bagaimanapun langkah pertama ialah mewujudkan infrastruktur yang diperlukan dalam komuniti luar bandar, bagi membolehkan mereka memanfaatkan teknologi ini. Ia memerlukan usaha kolektif daripada seluruh komuniti dan industri untuk benar-benar mengubah aspek penjagaan kesihatan," katanya.

Sementara itu Ketua Setiausaha Kementerian Kesihatan Datuk Seri Suriani Ahmad dalam ucapan perasmiannya pada majlis itu berkata persidangan tersebut berfungsi sebagai landasan bagi memperkukuh perkongsian awam swasta (PPP) yang menjadi penggerak utama dalam landskap bidang perubatan.

Beliau berkata MIH Megatrends 2024 disasar menjadi jenama persidangan perubatan sulung, menyemarakkan semula perhimpunan pengamal perubatan dan profesional berkaitan di Malaysia dan antarabangsa.

"Saya harap persidangan ini akan membuka rangkaian akses perkhidmatan kesihatan yang lebih luas di dalam dan luar negara serta meletakkan Malaysia sebagai sebuah negara yang mampu menerajui advokasi teknologi perubatan. Persidangan ini boleh menjadi platform perkongsian maklumat dalam meningkatkan kedudukan ekonomi Malaysia di peringkat peringkat global," katanya.

Persidangan itu akan meneroka dan memberi tumpuan kepada trend dan transformasi utama yang membentuk masa depan perkhidmatan kesihatan dan kesihatan di peringkat global.

Ia termasuk Kesihatan Digital dan Teleperubatan, Perubatan Ketepatan dan Genomik, Populasi Penuaan dan Umur Panjang, Kesedaran dan Sokongan Kesihatan Mental, Ekuiti Kesihatan dan Akses kepada Penjagaan, Data Kesihatan dan Kecerdasan Buatan, Dasar dan Peraturan Penjagaan Kesihatan, serta Amalan Penjagaan Kesihatan Mampan.

MIH Megatrends 2024 ialah acara penjagaan kesihatan terulung negara, anjuran Kementerian Kesihatan dengan kerjasama KPJ Healthcare dan dengan kerjasama strategik dengan MCMC.

Acara hari ini juga menampilkan dua simposium ilmu yang meneroka topik termaju dalam penjagaan kesihatan, iaitu AI Generatif untuk Meningkatkan Penyampaian Penjagaan Kesihatan dan Perubatan Ketepatan dan Penjagaan Kesihatan Genomik.

Acara tiga hari di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur itu kini bersedia untuk menghimpunkan pemimpin penjagaan kesihatan global, profesional, inovator, dan penggubal dasar untuk meneroka kemajuan terbaru, saling bertukar ilmu pengetahuan, dan menjalin perkongsian yang bertujuan meningkatkan kualiti, kebolehcapaian dan kemampanan penjagaan kesihatan.

Direka bentuk untuk segmen perniagaan-ke-perniagaan, pameran itu akan menampilkan pelbagai pempamer, dan menganjurkan sesi ceramah sampingan serta perkongsian yang diketuai oleh para doktor dan pempengaruh kesihatan, serta demonstrasi produk dan pemeriksaan kesihatan dan perundingan percuma oleh KKM dan KPJ Healthcare.

Seorang pempamer di acara MIH Megatrends, Ketua Jualan Perubatan BD, Wong Xen Yeat berkata persidangan itu penting kerana ia mewakili kerjasama antara KKM dan sektor swasta, khususnya KPJ Healthcare.

"Skala penganjuran acara tahun ini jauh lebih besar berbanding persidangan KPJ sebelum ini, susulan kerjasama baru. Kami mempunyai pelbagai vendor, tempatan dan antarabangsa, termasuk syarikat multinasional. Ini mewujudkan peluang yang luas untuk penglibatan dengan KKM dan pelbagai sektor swasta pihak berkepentingan," katanya.

Salah seorang delegasi pada majlis itu Ketua Pegawai Kejururawatan KPJ Kuala Selangor, Neelavani Munianday berkata beliau berhasrat untuk mendapatkan hubungan dan pandangan yang berharga, pada perhimpunan ini, di samping memperoleh pengalaman langsung dalam meninjau beberapa teknologi termaju yang dipamerkan.

-- BERNAMA

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan