WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Mohd Hisham Ketua Pengarah MetMalaysia Baharu

28/10/2024 10:47 AM

KUALA LUMPUR, 28 Okt (Bernama) -- Dr Mohd Hisham Mohd Anip dilantik sebagai Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) yang baharu berkuat kuasa hari ini.

MetMalaysia dalam kenyataan memaklumkan pelantikan Mohd Hisham, 55, yang sebelum ini merupakan timbalan pengarah (operasi) jabatan adalah bagi menggantikan Muhammad Helmi Abdullah yang bersara wajib pada 4 Ogos lepas. 

Mohd Hisham yang berkelulusan sarjana dan doktor falsafah dalam bidang sains atmosfera daripada Universiti Missouri, Amerika Syarikat serta pemegang ijazah sarjana muda dalam bidang sains matematik daripada Universiti Malaya mula berkhidmat di MetMalaysia pada 4 Mac 1994. 

"Sepanjang 30 tahun berkhidmat, beliau pernah bertugas dalam pelbagai cabang meteorologi meliputi ramalan cuaca, latihan, teknologi maklumat dan komunikasi (ICT), instrumentasi dan pengurusan kualiti. 

"Beliau turut dilantik untuk menganggotai pelbagai jawatankuasa dan kumpulan kerja pakar teknikal di peringkat nasional serta antarabangsa melibatkan bidang pengurusan bencana, ramalan cuaca dan banjir, perubahan iklim serta penyelidikan,” menurut jabatan itu.

Menurut MetMalaysia pelantikan Mohd Hisham merupakan antara usaha kerajaan untuk memperkasakan penyampaian perkhidmatan jabatan sebagai agensi peneraju unggul dalam bidang meteorologi, iklim dan geofizik di peringkat negara dan antarabangsa.

-- BERNAMA 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan