WILAYAH - SARAWAK > BERITA

872,000 Ahli KWSP Buat Caruman Sukarela Setakat Ogos 2024 - Lim

28/10/2024 02:21 PM

KUALA LUMPUR, 8 Okt (Bernama) -- Sebanyak 872,000 atau 10.2 peratus daripada ahli aktif Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) telah membuat caruman sukarela dengan jumlah caruman sebanyak RM9.39 bilion setakat 31 Ogos tahun ini.

Timbalan Menteri Kewangan Lim Hui Ying berkata ahli KWSP boleh mencarum sendiri pada bila-bila masa melalui caruman sukarela bagi menambah simpanan mereka, tertakluk kepada had caruman tahunan sebanyak RM100,000 setahun, bermula 1 Jun 2023.

"Caruman sukarela ini boleh dibuat pada bila-bila masa melalui saluran aplikasi mudah alih, perbankan Internet,  Bank Simpanan Nasional (BSN), kaunter ejen bank, dan kaunter KWSP," katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini. 

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Syerleena Abdul Rashid (PH-Bukit Bendera) mengenai langkah-langkah yang diambil KWSP bagi meningkatkan semula simpanan ahli. 

Selain itu, Lim berkata sebanyak 263,000 atau 3.3 peratus daripada jumlah ahli aktif formal KWSP telah mendaftar untuk membuat caruman melebihi kadar berkanun bagi caruman pekerja. 

"Bagi ahli yang bekerja dan mempunyai majikan, mereka boleh memilih untuk mencarum melebihi kadar caruman berkanun syer pekerja iaitu 11 peratus pada bila-bila masa," katanya.

Dalam pada itu, Lim berkata kira-kira 86,000 suami di negara ini telah menyertai program i-Sayang yang dijalankan oleh KWSP sejak ia dilancarkan pada 2013, melibatkan jumlah pindahan caruman sebanyak RM22.1 juta setakat Ogos 2024. 

"Program i-Sayang membolehkan suami memperuntukkan dua peratus daripada caruman KWSP bulanan (syer pekerja) secara sukarela ke akaun KWSP isteri mereka," katanya.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan