WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Peminat Red Devil Malaysia Gembira Dengan Pemecatan Ten Hag

28/10/2024 11:01 PM

KUALA LUMPUR, 28 Okt (Bernama) -- Kehangatan pengumuman pemecatan Erik ten Hag sebagai Pengurus Manchester United selepas dua tahun setengah mengendalikan skuad “The Red Devils” dalam saingan Liga Perdana Inggeris turut dirasai di Malaysia.

Presiden Kelab Peminat Manchester United Malaysia Raf Yaakob berkata keputusan untuk menamatkan kontrak jurulatih berusia 54 tahun dari Belanda itu adalah wajar memandangkan prestasi buruk kelab gergasi itu terperosok di tangga ke-14 dengan hanya tiga kemenangan selepas sembilan perlawanan.

“Ini memang dijangka selepas beberapa siri kekalahan United. Walaupun pihak pengurusan baharu telah memberi peluang kepada ten Hag, hasilnya tidak memuaskan.

“Maka, pemecatan ini adalah tindakan yang tepat. Kita ingin melihat sama ada isu ini berpunca daripada pemain yang kurang beraksi atau pengurusan jurulatih,” katanya ketika dihubungi oleh Bernama hari ini.

Ruud Van Nistelrooy akan mengendalikan pasukan sebagai ketua jurulatih sementara dibantu oleh pasukan kejurulatihan semasa manakala ketua jurulatih tetap yang baharu akan dilantik.

Sementara itu, seorang peminat tegar dan bekas editor sukan New StraitsTimes, Lazarus Rokk meluahkan keterujaannya dan menyifatkan pemecatan itu sebagai “berita terbaik dalam hidup bola sepak saya sejak Erik ten Hag memimpin di Old Trafford.”

Pandangannya mencerminkan rasa lega ramai peminat setia yang berharap agar pasukan kesayangan mereka kembali bangkit.

Dalam pada itu, hantaran di laman Facebook Manchester United berkenaan pemecatan ten Hag mendapat lebih 72,000 tanda suka, 18,000 komen dan 10,000 perkongsian dalam tempoh dua jam selepas dimuat naik.

Seorang pengguna Facebook Sukri Rasidin menyatakan bahawa keputusan tersebut wajar tetapi menegaskan pemain juga perlu memperbaiki prestasi terutama dalam aspek kecergasan.

“Banyak pemain boleh dilepaskan. Kecergasan kurang baik. Mereka lebih banyak berjalan daripada berlari. Ini bola sepak moden. Kelajuan dan ketangkasan penting,” tulisnya di ruangan komen hantaran tersebut.

 United juga menghadapi situasi getir dalam Liga Europa dan kini berada di kedudukan ke-21 daripada 36 pasukan setelah mencatatkan tiga seri dalam tiga perlawanan awal.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan