IPOH, 29 Okt (Bernama) -- Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Perak tidak menemui kesan baharu atau tanda kehadiran buaya di sebatang anak sungai Kampung Pasir Jenderis, dekat Pasir Salak baru-baru ini.
Pengarah Perhilitan Perak Yusoff Shariff berkata pihaknya telah memantau serta memeriksa kawasan yang dikatakan buaya itu muncul seperti dimaklumkan oleh orang awam mengenai kehadiran reptilia itu.
"Sepanjang tempoh siasatan itu, kami tidak menemui sebarang tanda kehadiran buaya tersebut atau kesan baharu yang menunjukkan haiwan ini naik ke darat.
"Bagaimanapun,Perhilitan Perak akan memasang papan tanda amaran bagi mengingatkan orang ramai supaya lebih berhati-hati dan pastinya tidak mahu berlaku sebarang kejadian membabitkan nyawa," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas laporan media pada 22 Okt berkenaan dakwaan penduduk Kampung Pasir Jenderis yang resah selepas mendakwa terlihat kelibat haiwan pemangsa itu selepas kejadian banjir dan air pasang baru-baru ini.
Yusoff berkata pihaknya juga akan menjalankan pemantauan rapi secara berterusan di kawasan terbabit untuk tindakan lanjut daripada pihaknya.
"Sekiranya ada kesan baharu kehadiran buaya di anak sungai kampung itu yang kita jumpa, maka kita akan pasang perangkap bagi mengatasi masalah ancaman kepada orang awam.
"Kita menasihatkan orang ramai supaya berwaspada sekiranya ternampak buaya tersebut dan segera menghubungi pihak berwajib termasuk Perhilitan untuk tindakan lanjut,” katanya.
Beliau berkata pengguna perlu sentiasa berwaspada selain mengelak daripada melakukan provokasi jika berdepan haiwan terbabit dan salurkan sebarang maklumat berkaitan hidupan liar kepada pihaknya menerusi talian 1-800-88-5151 atau e-aduan di laman sesawang www.wildlife.gov.my.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial