KUCHING, 7 Nov (Bernama) -- Sebanyak 14 pengamal media menamatkan lawatan selama tiga hari ke Empangan Hidroelektrik (HEP) Murum, satu daripada kemudahan tenaga boleh diperbaharui utama Sarawak yang terletak di daerah Belaga, kira-kira 838 kilometer dari Kuching.
Lawatan anjuran Sarawak Energy yang bermula Selasa lepas, bertujuan memberikan gambaran sebenar mengenai loji berkapasiti 944 megawatt (MW) yang juga loji hidroelektrik kedua terbesar di Sarawak dan memainkan peranan penting dalam inisiatif tenaga boleh diperbaharui negeri berkenaan.
“Bersama kemudahan tenaga hidro Sarawak Energy lain, HEP Murum mempunyai peranan penting dalam memajukan Strategi Pembangunan Pasca-COVID-19 Sarawak 2030 (PCDS2030) dalam meningkatkan Sarawak kepada status berpendapatan tinggi dengan memanfaatkan sumber tenaga boleh diperbaharui dan menyampaikan tenaga yang selamat dan boleh dipercayai,” menurut Sarawak Energy dalam kenyataan hari ini.
HEP Bakun yang diambil alih oleh Sarawak Energy pada 2017 kekal sebagai loji hidroelektrik terbesar di Sarawak dengan kapasiti penjanaan 2,520 MW manakala HEP Batang Ai yang beroperasi pada 1985 pula adalah ketiga terbesar dengan kapasiti 94 MW.
Satu pencapaian penting dari segi tanggungjawab alam sekitar, Sarawak Energy mula memperakui tenaga boleh diperbaharui yang dihasilkan oleh Murum melalui Sijil Tenaga Boleh Diperbaharui (REC) pada 2022, yang didaftarkan di bawah platform Sijil Tenaga Boleh Diperbaharui Antarabangsa (I-REC).
“REC mewakili ciri-ciri alam sekitar bagi setiap megawatt jam tenaga boleh diperbaharui yang dihasilkan dan memainkan peranan penting dalam membantu organisasi mencapai sasaran tenaga boleh diperbaharui serta mengurangkan jejak karbon mereka,” menurut kenyataan itu.
Pada 25 Jun tahun ini, REC daripada HEP Murum telah dijual pada lelongan sulung Bursa Carbon Exchange dengan 268,800 REC hidroelektrik dibeli oleh 15 pembeli, yang menunjukkan minat pasaran kukuh terhadap tenaga boleh diperbaharui dihasilkan oleh Murum.
Takungan HEP Murum turut menjadi lokasi projek loji solar terapung yang sedang dinilai sebagai sebahagian daripada perjanjian kajian bersama tiga pihak yang baru ditandatangani antara Sarawak Energy, penyedia penyelesaian tenaga bersih Gentari Sdn Bhd dan penyedia tenaga dari Emiriah Arab Bersatu, Abu Dhabi Future Energy Company PJSC (Masdar.
“Kajian kebolehlaksanaan ini bertujuan menilai potensi pemasangan solar terapung berskala besar di takungan Murum dan merangkumi kebolehlaksanaan teknikal, kesan alam sekitar dan daya maju ekonomi untuk menentukan sama ada projek ini boleh dilaksanakan dengan jayanya,” menurut kenyataan itu.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial