WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Kes Kehilangan Beg Berisi RM1 Juta, Polis Tahan Dua Pengawal Keselamatan

07/11/2024 10:22 PM

KUALA LUMPUR, 7 Nov (Bernama) --Polis menahan dua pengawal keselamatan bagi membantu siasatan kes beg berisi wang tunai RM1 juta yang dilaporkan hilang selepas proses kutipan dilakukan oleh sebuah syarikat keselamatan dari sebuah bank di Ampang Point, dekat sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya ACP Mohd Azam Ismail berkata lelaki dan wanita tempatan masing-masing berusia 52 dan 38 tahun itu ditahan di Ampang pada pukul 10 malam pada hari kejadian yang sama.

Beliau berkata kedua-dua mereka dipercayai menaiki van keselamatan yang membawa beg berisi wang tunai berjumlah RM1,071,000 ketika hari kejadian.

“Ujian air kencing ke atas kedua-dua mereka adalah negatif dan pengawal keselamatan terbabit tidak mempunyai sebarang rekod jenayah,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Mohd Azam berkata kedua-dua suspek ditahan reman selama empat hari bermula hari ini hingga Ahad bagi membantu siasatan kes mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan kerana mencuri.

Beg berkenaan dilaporkan hilang pada pukul 3.55 petang sebelum ditemukan di tengah laluan di Jalan Hulu Kelang menuju ke Lebuhraya Bertingkat Ampang-Kuala Lumpur oleh orang awam pada hari kejadian.

Beg itu dipercayai terjatuh ketika kenderaan terbabit melalui kawasan selekoh di laluan berkenaan.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan