WILAYAH - TENGAH > BERITA

Larangan Penggunaan Media Sosial Untuk Remaja 16 Tahun Langkah Positif - Pakar

08/11/2024 05:03 PM

KUALA LUMPUR, 8 Nov (Bernama) -- Cadangan melarang penggunaan media sosial bagi remaja berumur di bawah 16 tahun dilihat sebagai drastik namun perlu dalam usaha melindungi kesejahteraan generasi muda yang semakin terdedah kepada bahaya dunia digital. 

Ketua Pusat Pengajian yang juga pensyarah kanan (Komunikasi) Fakulti Bahasa dan Komunikasi  Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) Dr. Siti Zanariah Yusoff berpendapat bagi tujuan itu Malaysia perlu mengkaji semula sistem kawal selia penggunaan media sosial di negara ini.

“Terdapat keperluan untuk mengkaji kelemahan dalam sistem sedia ada serta mencari jalan untuk meningkatkan kesedaran dan sokongan masyarakat terhadap isu ini. Penetapan had umur yang sesuai juga perlu dikaji secara komprehensif, mengambil kira konteks budaya, sosial dan ekonomi Malaysia,” katanya kepada Bernama. 

Beliau juga menyeru kerjasama erat antara kerajaan, ibu bapa dan masyarakat bagi memastikan generasi muda negara membesar dalam persekitaran sihat dan bebas daripada pengaruh negatif dunia maya. 

Kerajaan Australia baru-baru ini mengumumkan rancangan menggubal undang-undang bagi melarang penggunaan media sosial untuk remaja di bawah usia 16 tahun yang menjadi topik hangat diperdebat di platform-platform media sosial. 

Siti Zanariah berkata langkah itu mendapat sokongan pelbagai pihak termasuk Presiden Persatuan Pengguna Siber Malaysia (MCCA) Siraj Jalil yang menyifatkanya sebagai tindakan amat relevan dan wajar dicontohi terutamanya di negara ini.

Siraj menegaskan bahawa ketagihan media sosial dalam kalangan kanak-kanak dan remaja semakin membimbangkan dengan data menunjukkan sembilan daripada 10 kanak-kanak kini memiliki akaun media sosial dan menghabiskan purata lapan jam sehari untuk melayari platform seperti TikTok, YouTube serta pelbagai aplikasi lain. 

Mengulas lanjut, Siti Zanariah menegaskan risiko keselamatan tidak boleh diabaikan, khususnya remaja yang terdedah kenapa media sosial sering menjadi mangsa antunan seksual, buli siber dan pelbagai bentuk eksploitasi yang boleh menghancurkan kehidupan mereka. 

“Penggunaan media sosial yang berlebihan juga menjadi penyumbang kepada masalah kesihatan mental yang semakin meningkat dalam kalangan remaja termasuk social anxiety dan kemurungan,” katanya. 

Pensyarah Komunikasi Liberal, Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam Muhammad Azim Zaid pula menyarankan pihak berkuasa lebih cakna terhadap kelemahan dalam sistem pendaftaran media sosial yang membenarkan remaja memalsukan umur mereka. 

“Walaupun media sosial mempunyai kebaikan, penyalahgunaannya juga semakin meluas, terutama dengan perkembangan jenayah yang semakin kompleks seperti pedofilia,” kata Muhammad Azim.

Sementara itu, Ketua Jabatan Komunikasi Kulliyyah Ilmu Pengetahuan Berteraskan Wahyu dan Sains Kemanusiaan Abdul Hamid Abu Sulayman, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia Prof Dr Tengku Siti Aisha Tengku Azzman percaya larangan media sosial untuk remaja akan membawa banyak manfaat.  

Beliau berkata larangan itu dapat meminimumkan pendedahan kepada kandungan berbahaya termasuk bahan eksplisit, penipuan dalam talian dan trend berbahaya sambil mengekang salah laku seperti buli siber, ketagihan dan antun seksual.

Di samping itu, larangan berkenaan boleh menggalakkan aktiviti lebih sihat seperti bersukan dan akademik serta interaksi bersemuka dengan keluarga dan rakan selain memupuk hubungan lebih sihat.

Bagaimanapun, beliau mengakui potensi kelemahan seperti pengasingan sosial, kehilangan ekspresi diri dan mengurangkan celik digital boleh menyebabkan remaja terdedah kepada maklumat yang salah.

Tengku Siti Aisha berkata langkah itu juga boleh mendorong remaja memberontak dengan secara rahsia cuba untuk mengaksesnya seperti menggunakan VPN maka beliau sebaliknya mencadangkan agar penggunaan media sosial diurus dan dipantau, menggalakkan penglibatan yang bertanggungjawab dan produktif.

Beliau juga menggesa perbincangan lanjut dengan pihak berkepentingan seperti Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan ibu bapa untuk meneroka strategi alternatif sebelum mempertimbangkan larangan sepenuhnya.

Media sebelum ini melaporkan Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil  menerusi MCMC mengingatkan golongan ibu bapa untuk memastikan anak-anak mereka berusia bawah 13 tahun tidak memiliki sebarang akaun media sosial.

Ini kerana usia itu dianggap tidak sesuai untuk penggunaan platform berkenaan selain kebanyakan syarat platform media sosial sendiri melarang kanak-kanak bawah 13 tahun daripada memiliki akaun.

-- BERNAMA  

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan