GEORGE TOWN, 8 Nov (Bernama) -- Jenazah dua beranak yang maut akibat ditikam dalam kejadian di sebuah pangsapuri di Bandar Baru Farlim, Air Itam, semalam, dituntut ahli keluarga mereka malam ini untuk dikebumikan.
Jenazah Siti Zulaila, 30, dan bapanya Zulkifli Ibrahim, 62, dibawa keluar dari Jabatan Perubatan Forensik Hospital Pulau Pinang (HPP) kira-kira 7.20 malam selepas selesai proses bedah siasat.
Adik Zulkifli, Zamri Ibrahim, 46, berkata jenazah dua beranak itu dibawa dan disolatkan di Masjid Tuan Guru, di Tanjong Tokong sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kariah Tanjong Tokong selepas solat isyak malam ini.
"Jenazah terus dibawa ke masjid dan ahli keluarga serta rakan-rakan arwah telah menunggu di situ untuk memberi penghormatan terakhir sebelum dikebumikan. Jenazah akan dikebumikan dalam satu liang lahad,” katanya di sini malam ini.
Terdahulu, puluhan ahli keluarga dan rakan kepada dua beranak itu menunggu di Jabatan Perubatan Forensik HPP sejak 9 pagi tadi bagi menunggu proses bedah siasat dijalankan.
Tinjauan Bernama mendapati suasana pilu menyelubungi kawasan Jabatan Perubatan Forensik apabila ahli keluarga dan rakan-rakan datang menziarah keluarga mangsa.
Semalam, bapa dan anak perempuannya maut dipercayai ditikam seorang lelaki di sebuah pangsapuri di Bandar Baru Farlim.
Tiga individu ditemukan terbaring dalam keadaan berdarah termasuk dua daripada mereka disahkan meninggal dunia manakala seorang lelaki berusia 32 tahun, yang juga suspek cedera.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial