WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Polis Selangor Rekod 387 Kes Penderaan Kanak-kanak Setakat Oktober

13/11/2024 04:28 PM

SHAH ALAM, 13 Nov (Bernama) -- Polis Selangor merekodkan sebanyak 387 kes penderaan membabitkan kanak-kanak sepanjang Januari hingga Oktober lepas, kata Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan.

Hussein berkata daripada jumlah itu, 139 mangsa terdiri daripada mereka yang berusia 0 hingga satu tahun, dua hingga lima tahun (96) dan bakinya berusia hingga 18 tahun.

"Pengasuh merupakan jumlah tertinggi sebagai pelaku jenayah itu diikuti ibu bapa kandung dan guru serta ibu bapa tiri,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Pusat Temuduga Kanak-Kanak (CIC) kedua Bahagian Siasatan Seksual, Penderaan dan Kanak-Kanak (D11) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor di Balai Polis Seksyen 11 di sini hari ini.

Hussein berkata siasatan polis mendapati punca berlakunya penderaan kanak-kanak kebanyakannya akibat kecuaian, misalnya meninggalkan bayi atau kanak-kanak bersendirian sehingga memberikan risiko kepada mangsa serta berlakunya pengabaian.

Dalam pada itu, Hussein berkata terdapat trend peningkatan pelaporan kes melibatkan kanak-kanak ketika ini antaranya disebabkan kesedaran yang semakin baik oleh pelbagai pihak berhubung keganasan terhadap golongan itu.  

“Ada yang tampil serta berani untuk buat laporan susulan banyak program kesedaran dan inisiatif Polis Diraja Malaysia (PDRM) bergerak dalam masyarakat untuk memberi maklumat, di samping faktor penduduk negeri ini yang ramai,” katanya.

Berhubung CIC kedua, Hussein berkata sebanyak RM180,000 diperuntukkan untuk pengubahsuaian sebuah premis sedia ada di Balai Polis Seksyen 11 di sini untuk tujuan berkenaan. 

Beliau berkata penambahan CIC yang beroperasi sejak 5 Mac lepas itu dilaksanakan susulan berlakunya peningkatan jumlah kes membabitkan kanak-kanak yang perlu ditemu duga saban tahun dengan purata 400 hingga 500 kes setahun.

“Penubuhan CIC ini mengambil kira peningkatan jumlah kes melibatkan sebanyak 875 kanak-kanak yang sudah ditemu duga tahun ini membabitkan pelbagai kes antaranya penderaan, pengabaian dan seksual.

“Mengikut keperluan semasa kita juga akan memperluas CIC ini sebab kedua-dua fasiliti ini terletak di Shah Alam. Jadi, ada keperluan untuk diluaskan ke Kuala Selangor, Sabak Bernam, Hulu Selangor atau di selatan negeri ini,” katanya.

Hussein berkata CIC pertama yang ditubuhkan pada 2014 dan terletak di Seksyen 7 di sini adalah untuk kegunaan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan, Klang Utara, Gombak, Shah Alam, Hulu Selangor, Kuala Selangor, Kajang dan KLIA.

“CIC kedua untuk IPD Petaling Jaya, Subang Jaya, Sabak Bernam, Kuala Langat, Sungai Buloh, Sepang, Serdang dan Ampang Jaya,” katanya dan menambah pusat itu menjalankan ses temu bual kanak-kanak berumur di bawah 16 tahun yang dihantar oleh Pegawai Penyiasat di 16 IPD berkenaan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan