WILAYAH - SARAWAK > BERITA

RM12.8 Bilion Wang Tidak Dituntut Setakat 31 Okt

13/11/2024 09:56 PM

KUALA LUMPUR, 13 Nov (Bernama) -- Sejumlah RM17 bilion wang tidak dituntut (WTD) diserahkan syarikat dan firma kepada Jabatan Akauntan Negara dengan RM4.2 bilion daripada jumlah itu telah dituntut empunya yang berhak setakat 31 Okt lepas.

Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2025 peringkat jawatankuasa bagi Kementerian Kewangan di Dewan Rakyat hari ini  berkata ini menjadikan baki WTD yang masih tidak dituntut berjumlah RM12.8 bilion.

Beliau berkata sejak 2022, Jabatan Akauntan Negara membuka 184 reruai di seluruh negara bagi meningkatkan kesedaran dan menggalakkan orang awam membuat tuntutan WTD.

Amir Hamzah berkata pihaknya juga akan meneliti cadangan untuk kerajaan melakukan pengesanan pemilik atau waris menggunakan data terkini di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) supaya wang berkenaan dapat dikreditkan terus ke dalam akaun mereka.

Sementara itu, beliau berkata kerajaan Persekutuan bersedia mempertimbangkan cadangan kerajaan Kelantan dan Terengganu berhubung program dan projek yang boleh dibiayai menerusi pemberian wang ihsan terutama dalam usaha mengurangkan kemiskinan dan menambah baik infrastruktur asas.

Beliau berkata kerajaan Persekutuan sememangnya memberikan peruntukan pembiayaan untuk projek pembangunan kepada kedua-dua negeri itu yang disalurkan melalui kementerian.

"Ia antaranya merangkumi pelaksanaan projek Lebuh Raya Central Spine Road dan pembinaan loji rawatan air di Kelantan, pembinaan hospital di Terengganu, jalan perhubungan serta menaik taraf sekolah di luar bandar," katanya.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan