WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Program Ziarah Santuni Pesara Uzur Platform Hargai Jasa Dalam Perkhidmatan Awam

14/11/2024 09:07 AM

KOTA KINABALU, 14 Nov (Bernama) -- Program Ziarah Santuni Pesara Uzur kelolaan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) sejak lebih 10 tahun dengan kerjasama beberapa jabatan dan agensi lain akan diadakan secara berterusan sebagai platform menghargai golongan itu yang pernah menabur bakti kepada negara sepanjang bertugas dalam perkhidmatan awam. 

Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Tan Sri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz menyifatkan penganjuran program itu sebagai sangat baik dan wajar diteruskan pada masa hadapan kerana keberkesanannya dalam memelihara kebajikan pesara sekali gus memastikan mereka tidak berasa dipinggirkan.

Beliau berkata usaha itu juga jelas membuktikan komitmen serta keprihatinan kerajaan yang sentiasa mengambil perhatian mengenai keperluan setiap pesara di seluruh negara, malah tidak pernah mengabaikan kesejahteraan mereka selaras dengan rukun keenam dalam aspirasi Malaysia MADANI iaitu ihsan.

"Insya-Allah, program ini kita akan adakan di setiap negeri dan harapan saya agar ia dijadikan sebagai satu acara atau program berterusan supaya kita dapat menyantuni mereka (pesara) yang memerlukan bantuan daripada kerajaan dan ia memberi impak baik kepada pesara yang menerima bantuan.

"Program ini juga akan diteruskan pada tahun hadapan. Mungkin dengan lokasi berbeza dan keluarga (pesara) yang berbeza," katanya selepas melawat rumah tiga pesara dan balu pesara yang uzur serta mengalami komplikasi kesihatan di sekitar bandar raya ini, semalam.

Dalam lawatan itu Wan Ahmad Dahlan menyantuni ketiga-tiga pesara dan balu pesara terbabit selain menyampaikan bantuan tunai serta barang keperluan harian dan kesihatan yang turut disumbangkan oleh Kumpulan Wang Persaraan, Unit Penyelarasan Pelaksanaan, Jabatan Perdana Menteri, Pejabat Setiausaha Persekutuan Sabah serta Affin Bank. 

Beliau menjelaskan adalah menjadi hasrat kerajaan untuk sentiasa menyantuni rakyat bukan sahaja pesara tetapi juga golongan yang berada dalam kalangan miskin dan miskin tegar selain menyediakan peluang pekerjaan supaya dapat membantu mereka menjana pendapatan. 

Mengenai pelarasan gaji pesara menerusi Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA), katanya golongan pesara sama ada dalam kumpulan pengurusan dan profesional atau kumpulan pelaksana tidak perlu risau kerana mereka juga akan menikmati manfaat seperti penjawat awam yang sedang berkhidmat.

"Sebenarnya apabila kita melaksanakan pelarasan gaji, mereka yang telah bersara juga akan menikmati perkara sama, maknanya pesara juga akan mendapat pelarasan dari segi pencen. Justeru, jangan risau kerana kerajaan tidak pernah mengabaikan pesara," katanya.

Sementara itu, pesara Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Bakar @ Bagol Adani, 75, yang mempunyai empat anak serta 15 cucu berbesar hati menerima sumbangan termasuk bantuan keperluan kesihatan ketika lawatan Wan Ahmad Dahlan ke kediamannya di Kampung Tanjung Aru Baru.

Bakar yang berkhidmat sebagai anggota bomba selama 37 tahun dan kini menghidap sakit jantung turut mengucapkan terima kasih atas bantuan diberikan dan menyifatkannya sebagai bukti keprihatinan kerajaan kepada golongan pesara uzur yang mengalami masalah kesihatan sepertinya.

"Saya sangat berbesar hati atas bantuan daripada JPA yang masih lagi prihatin memberi sumbangan kepada bekas kakitangan kerajaan yang ada masalah kesihatan. Jika kita lihat setiap pesara ada yang tidak begitu stabil kesihatannya dan menghidap pelbagai jenis penyakit kerana umur sudah lanjut.

"Macam saya, sebelum bersara sudah disahkan menghidap sakit jantung. Jadi pesara mempunyai masalah kesihatan seperti saya dapat bantuan perubatan itu yang perlu, selainnya boleh diusahakan sendiri," katanya yang pernah berkhidmat sebagai anggota bomba di Labuan dan Sabah. 

Perasaan gembira turut dizahirkan pesara Jabatan Muzium Sabah Othman @ Matius Angkaus, 65, yang menerima kehadiran rombongan Wan Ahmad Dahlan ke rumahnya di Kampung Kopungit di sini.

Beliau yang bersara pada 2019 setelah 37 tahun berkhidmat di jabatan itu berkata bantuan tersebut sedikit sebanyak meringankan beban kos sara hidup yang semakin meningkat. 

"Saya mengucapkan terima kasih atas sumbangan ini. Terima kasih juga kepada (pegawai) e-Kasih yang datang menemu ramah kami mengenai masalah dari segi kesihatan dan apa bantuan diperlukan," katanya yang mempunyai enam anak dan enam cucu.

Wan Ahmad Dahlan turut menyampaikan bantuan kepada Chu Moi Kui @ Ho Moi Kui, 75, yang merupakan balu kepada seorang pesara bomba.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan