WILAYAH - SELATAN > BERITA

Amang Seksual: Peguam Empat Pembantu Madrasah Hantar Representasi Kedua Kepada AGC

18/11/2024 04:19 PM

SEREMBAN, 18 Nov (Bernama) -- Pihak pembelaan yang mewakili empat pembantu pengajar sebuah madrasah di Kuala Pilah yang berdepan dengan 20 pertuduhan kerana melakukan amang seksual fizikal terhadap kanak-kanak, akan menghantar representasi kedua kepada Jabatan Peguam Negara (AGC), selepas representasi pertama ditolak.

Peguam Datuk Hanif Hassan berkata pihaknya akan kemukakan permohonan itu susulan representasi pertama bagi menyemak semula pertuduhan melibatkan Muhammad Habib Noh Mohd Zairi, 21; Muhammad Khunais Fathie Khabil, 20; Ahmad Nadzful Izham Azizan, 22 dan Muhammad Fawzun Azim Ismail, 20, telah ditolak Pengarah Pendakwaan Negeri Sembilan.

“Saya mengesahkan telah menerima jawapan menyatakan representasi ditolak, saya mendapat arahan daripada anak guam untuk memasukkan representasi kedua,” katanya ketika prosiding di hadapan Hakim Datin Surita Budin di Mahkamah Sesyen Seremban di sini.

Kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Nurul Balkis Zunaidi.

Terdahulu Nurul Balkis memaklumkan kepada mahkamah representasi kesemua kes tersebut ditolak pengarah pendakwaan negeri dan Hakim menetapkan 18 Dis bagi sebutan semula kes. 

Dalam pada itu Hanif ketika ditemui pemberita menjelaskan representasi kedua akan dikemukakan itu dengan mengambil kira faktor usia tertuduh.

Pada 19 Sept lepas, Muhammad Habib Noh (lima pertuduhan), Muhammad Khunais (enam pertuduhan) dan  Ahmad Nadzful (tiga pertuduhan) ditahan dalam Op Global dan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini bagi pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap kanak-kanak di sebuah madrasah di Kuala Pilah pada 2022 hingga 2023. 

Keesokannya, Muhammad Fawzun pula tidak mengaku bersalah di mahkamah yang sama bagi enam pertuduhan atas perbuatan sama terhadap empat kanak-kanak lelaki di pusat jagaan itu sekitar 2023.

Pertuduhan ke atas mereka dibuat di bawah Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 manakala dua pertuduhan mengikut Seksyen 14 (b) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.

Jika sabit kesalahan boleh dipenjara tempoh 20 tahun dan boleh juga disebat.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan