WILAYAH - TENGAH > BERITA

RUU Kewangan 2024 Untuk Pindaan Ke Atas Enam Akta Dibentang Bagi Bacaan Kali Pertama

19/11/2024 05:24 PM

KUALA LUMPUR, 19 Nov (Bernama) -- Rang Undang-Undang (RUU) Kewangan 2024 dibentangkan di Dewan Rakyat hari ini bertujuan untuk meminda Akta Cukai Pendapatan 1967, Akta Cukai Keuntungan Harta Tanah 1976, Akta Setem 1949, Akta Petroleum (Cukai Pendapatan) 1967, Akta Kewangan 2012 dan Akta Kewangan 2023.

RUU itu dibentangkan oleh Timbalan Menteri Kewangan Lim Hui Ying bagi bacaan kali pertama.

Bagi Akta Cukai Pendapatan 1967, Fasal 4 RUU itu bertujuan untuk memasukkan perenggan baharu 6(1)(r) ke dalam akta yang sama, menurut naskah biru yang diedarkan di Parlimen,

Pindaan itu bertujuan memperuntukan bahawa cukai pendapatan hendaklah dikenakan atas pendapatan dividen individu yang merupakan pemegang syer syarikat, sama ada melalui pemegangan syer langsung atau melalui penama jika pendapatan itu disifatkan sebagai diperoleh dari Malaysia.

Berdasarkan naskah biru itu juga, pindaan kepada Akta Cukai Pendapatan 1967 yang disebut 'akta ibu' akan berkuatkuasa bagi tahun taksiran 2025 dan tahun-tahun berikutnya.

Fasal 6 pula bertujuan meminda subseksyen 36(6) akta yang sama, dengan perenggan 6(a) bertujuan menggantikan perenggan 34(6)(h) untuk mengadakan peruntukan bagi syarat baharu berhubung dengan sumbangan yang dibuat kepada suatu projek amal atau komuniti.

RUU itu mencadangkan jika amaun sumbangan adalah lebih RM300,00, sumbangan itu hendaklah ditentusahkan oleh pihak berkuasa kerajaan yang berkaitan dan projek amal atau komuniti itu hendaklah diluluskan oleh Menteri Kewangan.

Kerajaan juga mencadangkan Fasal 19 RUU itu yang bertujuan meminda seksyen 3 Akta Cukai Keuntungan Harta Tanah 1976, dengan perenggan 19(2) adalah untuk meminda subseksyen 3(2).

Ia bertujuan memperuntukkan bahawa cukai keuntungan harta tanah hendaklah dikenakan ke atas setiap ringgit daripada amaun keuntungan yang boleh dikenakan cukai yang terakru kepada seseorang yang boleh dikenakan cukai dalam suatu tahun taksiran dan bukan daripada jumlah amaun keuntungan yang boleh dikenakan cukai bagi tahun taksiran itu.

“Dengan pindaan ini, cukai adalah dikenakan secara bersaingan atas keuntungan yang boleh dikenakan cukai yang terakru atas setiap pelupusan harta tanah,” menurut naskah biru tersebut.

Bagi Akta Setem 1949 pula, Fasal 24 RUU itu bertujuan meminda seksyen 20A, untuk mengenakan duti “ad valorem” atas pertukaran harta tanah sebagai suatu pemindahhakan semasa jualan tanpa mengira sama ada pertukaran itu melibatkan suatu balasan.

Pindaan yang dicadangkan juga memperuntukkan bahawa pertukaran harta tanah antara pihak-pihak tertentu tidak tertakluk kepada duti “ad valorem”.

Semua pindaan itu berkuat kuasa bagi tahun taksiran 2025 dan tahun-tahun taksiran yang berikutnya.

Dalam pada itu, Lim turut membentangkan RUU Langkah-Langkah Bagi Pemungutan, Pentadbiran dan Penguatkuasaan Cukai 2024 yang dibacakan buat kali pertama di Dewan Rakyat.

RUU itu bertujuan untuk meminda Akta Cukai Pendapatan 1967, Akta Cukai Keuntungan Harta Tanah 1976, Akta Setem 1949, Akta Petroleum (Cukai Pendapatan) 1967, Akta Levi Keuntungan Luar Biasa 1998, Akta Cukai Jualan 2018 dan Akta Cukai Perkhidmatan 2018.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan