WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Cakna Penjagaan Pesakit Kanser Semasa Tempoh Rawatan

20/11/2024 10:57 AM


From Balkish Awang

Bukan mudah melalui episod kehidupan sebagai seorang pesakit kanser kerana banyak perkara perlu dititikberatkan termasuk mampu menjalani setiap rawatan yang disyorkan pakar onkologi dengan sebaik-baiknya.

Setiap pejuang kanser juga sudah tentunya menaruh harapan tinggi agar dapat menoktahkan penyakit yang sekian lama dideritai dan tidak perlu lagi dibelenggu mimpi ngeri penyakit yang digelar sebagai “pembunuh senyap”.

Di samping itu, pelbagai aspek perlu dicakna semasa pesakit menjalani tempoh rawatan antaranya mengambil pemakanan bernutrien dan zat tinggi. 

Kesihatan darah turut penting bagi pesakit kanser kerana kekurangan darah amat berbahaya serta mampu menjejaskan rawatan yang sedang dijalani.

 

KESIHATAN DARAH 

Menurut Pakar Hematologi Hospital Ampang Dr Jameela Sathar, kesedaran masyarakat berhubung kesihatan darah seperti tahap hemoglobin dan zat besi agak terhad kerana tumpuan lazimnya diberikan kepada aspek kesihatan jantung, tekanan darah, kawalan gula serta kolesterol dalam darah.  

Beliau berkata, seseorang yang kekurangan darah termasuk pesakit kanser akan mengundang pelbagai implikasi.

"Soal kesihatan darah masih di tahap rendah. Sebenarnya darah memainkan peranan penting dalam fungsi tubuh serta mencegah penyakit. Ramai tidak menyedari tanda-tanda awal anemia atau kekurangan zat besi dan hanya mendapatkan rawatan apabila keadaan menjadi lebih serius," katanya.

pic-2

Dr Jameela yang juga Penasihat Hematologi, Kelab Hematologi, Kelab Hemotasis Wanita (KHWAN) ditemui semasa forum bertajuk "Menjamin Keselesaan Pesakit Kanser Semasa Rawatan" anjuran Yayasan Budi Penyayang Malaysia (Penyayang) di Wisma Penyayang, Seri Kembangan, baru-baru ini.

Forum itu bertujuan memberi pendedahan, pengetahuan, kemahiran serta kesedaran untuk penjagaan pesakit kanser semasa menjalani rawatan selain membantu mereka menjalani kualiti hidup yang lebih baik sepanjang proses rawatan.

Mengulas lanjut Dr Jameela berkata, kesihatan darah merupakan asas kepada fungsi tubuh yang optimum kerana darah berfungsi mengangkut oksigen dan nutrien, membuang sisa, melawan jangkitan, menghentikan pendarahan, menyembuhkan luka dan mengawal suhu badan.

"Sekiranya kita tidak menjaga kesihatan darah ia boleh menyebabkan anemia iaitu kekurangan hemoglobin ke paras bawah 13 g/dL. Anemia boleh membawa kepada keletihan, hilang konsentrasi dan motivasi serta kualiti hidup menjadi rendah," katanya.

Menurut Dr Jameela, anemia berupaya meningkatkan risiko pemindahan darah yang boleh membawa kepada komplikasi lain seperti tindasan sistem imun, jangkitan kuman, darah beku, alahan dan kecederaan paru-paru.

"Sebab utama anemia adalah kekurangan zat besi yang biasa berlaku dalam kalangan kanak-kanak, remaja perempuan, wanita hamil, orang tua dan pesakit penyakit kronik termasuk kanser. 

"Ini kerana keperluan zat besi meningkat untuk menampung pembesaran kanak-kanak, kehilangan darah semasa haid, keperluan janin ibu hamil dan pemulihan daripada penyakit dan kanser," katanya menambah, pengambilan makanan kaya zat besi seperti hati ayam, kerang, ikan bilis, ikan sardin serta sayur kangkung, bayam dan pegaga gajah dapat memastikan tahap hemoglobin yang optimum. 

 

RISIKO ANEMIA 

Menekankan zat besi penting bukan hanya untuk pembentukan hemoglobin malah bertindak sebagai antioksidan, penghasilan tenaga, pemulihan DNA, sintesis kolagen pada rambut, kuku, kulit dan pembentukan sistem imun, Dr Jameela berkata, tanda-tanda seseorang itu kekurangan zat besi termasuklah rambut gugur, kuku rapuh, keletihan, hilang konsentrasi, sakit kepala, sering demam, gemar makan ais batu dan wajah kelihatan pucat.

Beliau berkata, individu yang kekurangan zat besi juga akan terdedah kepada risiko anemia yang juga merupakan pembunuh senyap kerana seseorang yang tidak cukup darah, akan menurunkan peluang mereka untuk terus hidup. 

pic-4

Anemia juga katanya dikaitkan dengan tempoh menginap yang lebih lama di hospital dan unit rawatan rapi, peningkatan morbiditi dan mortaliti serta penurunan fungsi dan kualiti hidup. 

 "Sekiranya anemia dapat dikenal pasti dan dirawat lebih awal, ia boleh membantu memperbaiki kadar kelangsungan hidup terutama dalam kalangan pesakit kanser yang bergantung pada kekuatan darah untuk menghadapi rawatan intensif seperti kemoterapi,” katanya.

Antara implikasi anemia ialah kelesuan  melampau, pesakit sukar menjalani rutin harian serta tidak dapat memberi fokus kepada rawatan kanser dengan positif.

"Bahayanya anemia kerana ia mengurangkan keupayaan untuk bertahan dengan rawatan kanser yang agresif seperti kemoterapi dan radioterapi. Tahap hemoglobin yang rendah boleh menyebabkan oksigenasi tisu yang tidak mencukupi, mengurangkan keberkesanan rawatan. 

"Ada kalanya doktor mungkin terpaksa menangguhkan atau menurunkan dos rawatan yang berpotensi menjejaskan hasil rawatan kanser. Ia juga meningkatkan risiko jangkitan terutama ketika sistem imun turut ditekan oleh rawatan kanser.

“Jangkitan juga boleh menjadi lebih teruk dan mengambil masa lama untuk pulih seterusnya menambahkan lagi beban kepada pesakit serta memburukkan prognosis kanser,” katanya.

 

AWASI PARAS HEMOGLOBIN DAN FERITIN

Pakar perubatan itu turut menegaskan pesakit kanser perlu memastikan tahap hemoglobin dan zat besi berada dalam julat yang baik iaitu bacaan hemoglobin perlu (≥13 g/dL) dan feritin (protin di dalam darah yang mengandung zat besi) adalah (>100 ng/mL).

Katanya, masyarakat sering kali menganggap bacaan hemoglobin pada paras 12 sudah memadai manakala feritin 50 mencukupi, apabila mereka membuat pemeriksaan di klinik.

“Sebenarnya tidak, bacaan sebaiknya adalah 13 dan ke atas bagi hemoglobin manakala feritin harus mencapai 100.

"Penghidap kanser perlu memastikan kedua-dua bacaan ini berada pada paras terbaik. Ia boleh dicapai melalui pemakanan seimbang, suplemen zat besi serta pemantauan yang kerap oleh pasukan perubatan,” katanya menambah, bacaan terbaik dapat meningkatkan peluang pesakit bertahan dengan rawatan.

pic-3

Selain menekankan soal pemakanan seimbang dan tinggi zat besi, beliau berkata, pesakit perlu mengutamakan waktu rehat serta mendapatkan sokongan emosi daripada keluarga dan rakan-rakan yang boleh membantu mereka terus bersemangat.

"Jika anda perasan tanda-tanda pendarahan seperti lebam di kulit, muntah darah, najis berwarna hitam atau pendarahan haid yang bukan normal dan keletihan yang luar biasa pada pesakit kanser, segera dapatkan nasihat perubatan.

"Penjaga boleh memainkan peranan dengan memahami pentingnya kesihatan darah dan menyokong pesakit dalam memenuhi keperluan pemakanan dan rawatan yang mencukupi. Komuniti juga perlu membantu menyebarkan kesedaran tentang anemia dan kesihatan darah selain memastikan mereka yang memerlukan maklumat dan bantuan tidak berasa keseorangan, " katanya. 

TINGKAT KESEDARAN 

Berharap kempen kesedaran kesihatan darah dapat diperluas di media sosial, televisyen, radio serta platform digital dengan memaparkan maklumat berkaitan kepentingan hemoglobin, zat besi serta cara menjaga kesihatan darah, Dr Jameela berkata, program pendidikan untuk pesakit kanser juga perlu diadakan agar pesakit dan ahli keluarga mereka mendapat pendidikan khusus.

"Ia boleh melibatkan pakar hematologi, jururawat serta ahli diet yang menjelaskan tentang pengurusan anemia, kepentingan zat besi dan pengambilan nutrisi yang sesuai semasa rawatan. Seterusnya ujian saringan kesihatan darah secara berkala perlu dilaksanakan serta akses ujian saringan darah secara percuma atau bersubsidi boleh diberikan agar masyarakat lebih peka akan perkara ini.

"Saringan ini amat penting bagi kumpulan berisiko tinggi seperti pesakit kanser, wanita hamil, remaja perempuan dan warga emas," katanya.

Tambah beliau lagi, kesedaran harus merangkumi peringkat pendidikan di sekolah dan institusi pengajian tinggi dengan memasukkan kesihatan darah dalam kurikulum pendidikan kesihatan bagi meningkatkan pemahaman asas sejak awal. 

"Golongan muda perlu diberi maklumat berhubung kesihatan darah khususnya wanita yang lebih terdedah kepada risiko anemia. Selain itu program latihan dan sokongan kepada profesional kesihatan dengan menganjurkan latihan khusus kepada doktor, jururawat bagi memperkasa kelompok berkenaan dalam mengenal pasti tanda-tanda awal masalah darah. 

"Pengetahuan mereka tentang pengurusan darah untuk pesakit kanser perlu diperkukuhkan termasuk penggunaan zat besi intravena, eritropoietin dan strategi lain dalam mengekalkan kesihatan darah pesakit," katanya.

 

PEMAKANAN TEPAT

Sementara itu, Pengurus Hal Ehwal Perubatan Nestle (M) Sdn Bhd Zoe Chiang Wan Ling berkongsi pandangan, pengambilan makanan yang betul dan seimbang dapat mencegah kekurangan zat makanan serta menguatkan badan untuk melawan kanser.

pic-5

Beliau berkata, pesakit kanser perlu mengambil pelbagai jenis makanan untuk mendapatkan zat seperti karbohidrat, protein, lemak, vitamin dan mineral. 

"Seperti mana digariskan dalam Piramid Makanan Malaysia 2020, pesakit kanser harus memperbanyakkan sayur-sayuran, buah-buahan, produk bijirin, ikan, ayam dan kekacang manakala untuk produk tenusu perlu diambil dalam kuantiti sederhana serta kurangkan makanan yang berlemak, bergula, alkohol dan bergaram," katanya.

Pakar dietetik itu berkata, pesakit kanser perlu mengambil makanan yang tinggi kalori dan protin, kerana kanser dan rawatan kanser boleh mengakibatkan perubahan metabolik yang menyebabkan badan membakar lebih banyak kalori. 

Selain itu, kesan sampingan rawatan turut mengurangkan selera makan dan keupayaan badan untuk menyerap nutrien yang membawa kepada penurunan berat badan. 

"Kesan rawatan seperti kesukaran menelan, cirit-birit, sakit mulut dan muntah turut menjejaskan status nutrisi pesakit kanser. Penjaga pesakit juga perlu cakna pemakanan sihat untuk pesakit kanser terutama ketika melalui proses kemoterapi dan radiasi yang akan menjejaskan selera makan dan status pemakanan pesakit,” katanya.

 

Disunting oleh Melati Mohd Ariff

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan