WILAYAH - UTARA > BERITA

Gangguan Air Berjadual Pada 28, 29 Nov Di Bahagian Pantai Pulau

21/11/2024 04:59 PM

GEORGE TOWN, 21 Nov (Bernama) -- Sebanyak 37,000 akaun pengguna di tujuh kawasan pantai di bahagian pulau negeri ini akan mengalami gangguan bekalan air berjadual dijangka selama 14 jam bermula 10 malam 28 Nov (Khamis) hingga 12 tengah hari 29 Nov (Jumaat).

Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) Datuk K. Pathmanathan memaklumkan dalam kenyataan gangguan itu berikutan kerja penggantian injap 900 milimeter (mm) dan kerja-kerja penyelenggaraan pencegahan di Loji Rawatan Air (LRA) Batu Ferringhi.

Beliau berkata kawasan yang terlibat ialah Bagan Jermal, Batu Feringghi, Mount Erskine, Tanjung Bungah, Tanjung Pinang, Tanjung Tokong dan Teluk Bahang termasuk hotel antarabangsa di sekitar kawasan tersebut yang akan mengalami sama ada tiada bekalan air atau tekanan air rendah.

Pathmanathan berkata PBAPP akan turut melakukan kerja-kerja servis pada alat suis voltan tinggi (11KV) dan transformer justeru kakitangan Tenaga Nasional Berhad (TNB) akan berada di tapak sepanjang tempoh tersebut untuk penyelenggaraan pencegahan.

Sehubungan itu, beliau menasihati pengguna yang terlibat supaya menyimpan air secukupnya sehingga perkhidmatan bekalan air pulih selain memohon maaf atas kesulitan.

“Semua kerja-kerja telah dijadualkan untuk dijalankan pada waktu malam dan awal pagi untuk meminimumkan kesulitan,” katanya dan menambah kemas kini tentang kemajuan kerja-kerja berkenaan akan dimaklumkan menerusi Facebook PBAPP.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan