WILAYAH - SARAWAK > BERITA

20 Syarikat Terima Geran I-BAP Bernilai Hampir RM1.5 Juta

27/11/2024 10:56 PM

KUALA LUMPUR, 27 Nov (Bernama) -- Sebanyak 20 syarikat telah diluluskan geran bernilai hampir RM1.5 juta menerusi Program Business Accelerator untuk syarikat milikan India bersaiz kecil (I-BAP) oleh SME Corporation Malaysia (SME Corp).

Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Seri R. Ramanan berkata kumpulan penerima ini adalah kumpulan pertama selepas permohonan ditutup pada 31 Oktober lepas.

"(Jumlah) yang diluluskan bagi bantuan kewangan ini sebanyak RM6 juta tetapi permohonan yang kami terima hampir RM26.14 juta.

"Bagi tahun akan datang, saya akan berbincang dengan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick, Ketua Pegawai Eksekutif SME Corp Rizal Nainy dan dibawa kepada Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) untuk mendapatkan bantuan peruntukan lebih besar bagi I-BAP," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada majlis ramah mesra dan sesi penyerahan surat tawaran kepada 20 penerima kumpulan pertama I-BAP di sini hari ini.

Menurutnya sebanyak 61 lagi  permohonan I-BAP sedang dinilai, menjadikan lebih 70 perusahaan kecil milikan usahawan India dijangka menerima bantuan kewangan berkenaan.

Program I-BAP yang diumumkan oleh Ramanan pada 27 September lepas menawarkan Geran Padanan sehingga RM100,000 bagi membantu perusahaan kecil milikan usahawan India meningkatkan kapasiti dan keupayaan serta prestasi perniagaan.

Ramanan berkata bantuan itu merangkumi perbelanjaan untuk perolehan mesin dan peralatan bagi meningkatkan kualiti produk serta produktiviti dan kecekapan pengeluaran, adaptasi teknologi maklumat dan komunikasi serta e-dagang, penerapan amalan alam sekitar, sosial dan tadbir urus, pensijilan produk dan pelaksanaan aktiviti pemasaran serta promosi.

"Peruntukan khusus untuk usahawan India melalui I-BAP membuktikan komitmen dan kesungguhan kerajaan dalam meningkatkan pembangunan komuniti India sejajar dengan kerangka Ekonomi MADANI yang menyasarkan pertumbuhan ekonomi negara yang lebih saksama dan inklusif.

"Dengan bantuan yang diterima, saya berharap usahawan India dapat meningkatkan kecekapan dan produktiviti bagi menambah hasil jualan dan keuntungan perniagaan," katanya.

Sementara itu penerima geran, R. Abiramee, 42, berkata beliau menerima sebanyak RM62,000 untuk membeli dan membaiki mesin membuat aiskrim berasaskan susu segar yang diusahakannya sejak lebih setahun lepas di sebuah kilang di Shah Alam.

"Sebelum ini kita import aiskrim ini dari India tetapi kini kita menghasilkan sendiri di Malaysia dan apabila mengikuti latihan di SME Corp, banyak informasi boleh diperoleh dan saya cuba memohon bantuan ini apabila permohonan dibuka pada Oktober lepas," katanya.

  -- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan