WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Stesen Pemancar, Pusat Nadi Terjejas Akibat Banjir Di Kelantan Dan Terengganu

28/11/2024 06:09 PM

PUTRAJAYA, 28 Nov (Bernama) -- Tujuh stesen pemancar dan 42 Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) terjejas susulan banjir yang sedang melanda di Kelantan dan Terengganu, demikian menurut Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).

MCMC dalam satu kenyataan memaklumkan setakat pukul 10 pagi tadi, enam stesen pemancar yang terjejas di Kelantan ialah di Bachok, Kota Bharu, Pasir Mas dan Tanah Merah, manakala satu lagi di Hulu Terengganu, Terengganu.

Menurut kenyataan itu daripada 42 NADI yang terjejas, 27 merupakan pusat di Kelantan dan 15 di Terengganu iaitu kesemuanya terpaksa ditutup akibat ditenggelami air, dengan bekalan elektrik terputus serta akses ke lokasi NADI juga terhalang.

“Bagi memastikan mangsa banjir yang berada di pusat pemindahan sementara (PPS) di kedua-dua negeri tersebut dapat terus berhubung melalui Internet, pihak MCMC Negeri telah menjalankan ujian liputan di beberapa PPS bagi memastikan liputan telekomunikasi berada pada tahap yang memuaskan,” menurut kenyataan MCMC.

Menurut kenyataan itu MCMC dengan kerjasama penyedia perkhidmatan akan terus menjalankan pemantauan rapi di negeri yang terjejas akibat banjir, khususnya infrastruktur telekomunikasi yang dianggap kritikal dan memastikan perkhidmatan telekomunikasi akan beroperasi sepenuhnya tidak lama lagi.

Situasi banjir di Terengganu semakin buruk dengan jumlah mangsa direkodkan setakat 4 petang ini seramai 14,111 orang, berbanding 8,215 orang pagi tadi.

Di Kelantan, mangsa banjir yang dipindahkan ke PPS terus meningkat kepada 42,868 orang setakat petang ini berbanding 29,023 orang pada pagi tadi.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan