SUBANG JAYA, 3 Dis (Bernama) -- Haier Malaysia menyasarkan pertumbuhan perolehan sebanyak 30 peratus dalam tempoh lima tahun akan datang.
Pengarah Urusan Fan Jing berkata pihaknya juga menyasarkan sebanyak 17.4 peratus penguasaan pasaran pada 2027, mengukuhkan kedudukan Haier sebagai peneraju industri di negara ini.
“Kami juga menyasar untuk mencapai kedudukan peneraju pasaran mutlak di Malaysia dengan penguasaan pasaran melebihi 30 peratus menjelang 2029,” katanya semasa berucap pada Persidangan Media Asia Tenggara Haier 2024, di sini pada Selasa.
Beliau berkata bagi 2025, pihaknya menjangkakan peningkatan perolehan sebanyak 33 peratus, dengan produk pertengahan dan mewah menyumbang 50 peratus kepada jualan manakala indeks harganya melebihi 100.
“Tahun depan, kami akan menumpukan kepada tiga strategi teras: mengukuhkan penawaran produk mewah, menginovasi saluran pemasaran dan menggiatkan lagi penggunaan platform digital kami,” katanya.
Fan berkata Haier Malaysia akan terus banyak melabur untuk barisan produk mewahnya, memacu inovasi terhadap fungsi dan teknologi bagi segmen peti sejuk.
Haier Malaysia juga akan meningkatkan pelaburan pemasaran sebanyak 30 peratus tahun depan berbanding tahun ini supaya jenamanya lebih dikenali, katanya.
Beliau berkata syarikat itu juga akan meneruskan kerjasama dengan Persekutuan Badminton Dunia (BWF) di Asia Tenggara, menaja kejohanan utama termasuk Terbuka Malaysia 2025 dan Malaysia Masters.
“Melangkah maju, kami akan terus mengembangkan rangkaian kedai jenama kami, menyasar untuk menambah 20 lagi kedai baharu, menjadikan jumlah keseluruhan 75 kedai pada 2025,” katanya.
Dalam meningkatkan momentum, Haier mempunyai beberapa model baharu yang dirancang untuk 2025, termasuk pendingin hawa bilik, dan bertujuan untuk mengukuhkan kedudukan pasarannya merentas pelbagai kategori.
Mengenai prestasi, Fan berkata Haier Malaysia telah mencapai sasaran pertumbuhan 40 peratus bagi 2024 menjelang musim cuti.
“Kategori produk Haier merekodkan pertumbuhan yang kukuh, dengan jualan pendingin hawa meningkat 47 peratus tahun ke tahun, diikuti televisyen (38 peratus), mesin basuh (37 peratus), dan peti sejuk (35 peratus),” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial