WILAYAH - SARAWAK > BERITA

MANGSA BANJIR DI TIGA NEGERI MENURUN, PERAK MENINGKAT DAN MELAKA KEKAL

09/12/2024 11:36 AM

KUALA LUMPUR, 9 Dis (Bernama) -- Jumlah mangsa banjir yang berlindung di pusat pemindahan sementara (PPS) di Kedah, Johor dan Kelantan terus berkurangan pagi ini berbanding semalam manakala di Perak meningkat sedikit dan Melaka kekal.

Di KEDAH, Timbalan Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kedah Mejar (PA) Muhammad Suhaimi Mohd Zain berkata jumlah mangsa di negeri itu yang kesemuanya dari daerah Kota Setar menurun kepada 243 orang daripada 60 keluarga setakat 8 pagi ini berbanding 254 orang daripada 64 keluarga, malam tadi.

"Mangsa yang merupakan penduduk dari enam kampung di Mukim Gunong masih ditempatkan di PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Sri Gunung yang dibuka sejak 29 Nov lepas. Mereka masih di PPS berikutan banjir di kediaman masing-masing masih belum surut sepenuhnya," katanya dalam kenyataan hari ini.

Mangsa banjir di JOHOR juga menurun kepada 109 orang setakat pagi ini berbanding 168 orang malam tadi dengan empat PPS di Segamat masih beroperasi iaitu Balai Raya Kampung Batu Badak, Dewan Komuniti Kampung Tasek, Balai Raya Kampung Kuala Paya dan Balai Raya Kampung Sanglang, manakala PPS Kampung Pogoh Tengah ditutup pada 10 malam tadi.

Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Tan Sri Dr Azmi Rohani berkata Sungai Tangkak di Kampung Seri Ma’mor, Tangkak mencatat paras bahaya dengan bacaan 4.10 meter.

"Setakat 8 pagi, tujuh daerah dilaporkan hujan manakala Johor Bahru, Pontian dan Kulai berada dalam keadaan mendung,” katanya dalam kenyataan.

KELANTAN turut merekodkan penurunan jumlah mangsa banjir kepada 43 orang daripada 12 keluarga setakat 8 pagi berbanding 111 orang daripada 48 keluarga semalam, dengan mereka berlindung di sebuah PPS di Pasir Mas, menurut portal Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

 Portal infobanjir.water.gov.my, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) pula mencatatkan dua paras sungai utama masih melepasi paras berjaga-jaga iaitu Sungai Golok di Tumpat pada paras 2.10 meter (berjaga-jaga 2.0 meter) dan Sungai Semerak di Pasir Puteh 2.03 (berjaga-jaga 2.0 meter) manakala semua sungai lain berada pada paras normal.

Bagaimanapun, di PERAK Sekretariat JPBN dalam kenyataan memaklumkan jumlah mangsa banjir pagi ini sedikit bertambah kepada 117 orang daripada 39 keluarga di tiga PPS di daerah Kinta dan Perak Tengah berbanding 116 mangsa malam tadi.

Kenyataan itu memaklumkan sebanyak 83 orang daripada 28 keluarga masih berlindung di dua PPS Dewan Serbaguna Tanjung Tualang dan SK St Paul di daerah Kinta manakala 34 mangsa daripada 11 keluarga kekal ditempatkan di PPS Dewan Orang Ramai Kampung Teluk Kepayang, Bota di Perak Tengah.

Sementara itu, Jabatan Pengairan dan Saliran Perak memaklumkan paras Sungai Rui di Jambatan Jalan Raya Perak di daerah Hulu Perak berada pada paras amaran setinggi 165.76 meter (m) berbanding paras normal 165.10m.

Di MELAKA, Sekretariat JPBN memaklumkan mangsa banjir kekal 11 orang daripada empat keluarga dan kesemua mangsa dari Kampung Lanchang di daerah Jasin itu berlindung di PPS SK Seri Mendapat.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan