WILAYAH - SARAWAK > BERITA

TEBUS GUNA TANAH TAPAK DEPOH LRT PULAU SILIKON SIAP DIS 2025

10/12/2024 04:31 PM

GEORGE TOWN, 10 Dis (Bernama) -- Aktiviti penambakan bagi projek Pulau Silikon di sini berjalan lancar dengan 28 hektar daripada keseluruhan 931 hektar pulau yang dirancang itu telah ditebus guna setakat ini, kata Ketua Pegawai Eksekutif Penang Infrastructure Corporation Sdn Bhd Datuk Seri Farizan Darus.

Farizan berkata daripada jumlah itu 2.4 hektar telah tersedia sebagai sebahagian daripada tapak untuk depoh Transit Aliran Ringan (LRT) Laluan Mutiara.

Beliau berkata kerja tebus guna tanah untuk baki kawasan depoh akan diteruskan mengikut jadual dan diserahkan kepada MRT Corporation selaku agensi pelaksana bagi projek tersebut dijangka pada Dis 2025.

“Bagi mempercepatkan kerja pemendapan tanah atau pasir yang telah kita tambak, kita telah menggunakan kaedah PVD (prefabrikasi saliran menegak).

“PVD ini ditanam hampir 12 meter (ke dalam pasir) dan melaluinya air akan dikeluarkan daripada bawah laut, ia akan mempercepatkan proses pemendapan sekali gus membolehkan kerja pembinaan dapat dibuat lebih awal berbanding kaedah konvensional,” katanya kepada pemberita pada lawatan ke tapak projek Pulau Silikon di sini hari ini.

Farizan berkata mulai tahun depan pihaknya menyasarkan kadar tebus guna sebanyak 121 hingga 161 hektar setiap tahun.

Beliau berkata lima kapal pengangkut pasir digunakan bagi mengangkut tanah ke tapak projek yang beroperasi selama 24 jam.

Selain itu, beliau berkata jambatan sementara yang menghubungkan Pulau Silikon dengan kawasan pulau Pulau Pinang juga sedang dalam pembinaan dan dijangka siap pada Mac 2025 yang berfungi untuk memudahkan akses logistik bagi kerja-kerja infrastruktur di tapak.

“Jambatan sementara ini juga boleh digunakan sebagai laluan kerja-kerja pembinaan di Pulau Silikon hingga jambatan kekal dibuka bagi kegunaan awam,” katanya sambil menambah jambatan kekal empat lorong sehala akan disiapkan dalam dua fasa.

Beliau berkata fasa pertama akan dibuka untuk trafik dua hala menjelang pertengahan 2027 manakala baki jambatan akan siap sepenuhnya menjelang akhir 2028.

Selaras dengan konsep 'Bandar 15-minit', Farizan berkata Laluan Mutiara LRT akan menghubungkan Pulau Silikon dengan tanah besar, mempromosikan nisbah mod pengangkutan 70:30 antara awam dan persendirian.

“Selain LRT dan trem elektrik autonomi, e-bas serta teksi air akan menjadi sebahagian daripada sistem pengangkutan hijau bersepadu pulau ini yang akan meningkatkan lagi kesalinghubungan dan kelestarian,” katanya.

Beliau berkata Pulau Silikon juga dijangka memberikan manfaat ekonomi yang besar bukan sahaja kepada Pulau Pinang tetapi juga Malaysia secara keseluruhan dengan menarik pelaburan bernilai tinggi, mewujudkan peluang pekerjaan di samping memperkukuhkan kedudukan negeri itu sebagai hab ekonomi kompetitif di rantau ini.

Dalam pada itu, Farizan berkata 722 daripada 877 nelayan yang mendaftar di bawah Pelan Pengurusan Impak Sosial (SIMP) telah menerima 100 peratus bayaran ex-gratia mereka manakala selebihnya melibatkan mereka yang sedang memperbaharui dokumen, meninggal dunia atau tidak aktif.

“Baki penerima yang layak dengan dokumen sah akan dibayar selewat-lewatnya akhir bulan ini. Kesemua 77 tekong yang layak dari unit Permatang Tepi Laut juga telah menerima bot dan enjin baharu.

“Fasa seterusnya akan melibatkan tekong aktif dari Sungai Batu, Gertak Sanggul dan Teluk Kumbar,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan