WILAYAH - SARAWAK > BERITA

T2H 2024 NEUROGINE-UMSKAL CETUS INOVASI, SERLAH POTENSI TEKNOLOGI LABUAN

11/12/2024 07:07 PM
Daripada Jailani Hasan

LABUAN, 11 Dis (Bernama) -- Universiti Malaysia Sabah Kampus Antarabangsa Labuan (UMSKAL) meraih pencapaian penting dalam inovasi teknologi menerusi kejayaan inisiatif Hab Bakat Teknologi 2024 (T2H 2024) yang julung kali diadakan, yang diraikan dalam majlis penyampaian hadiah hari ini.

Program bertemakan dipacu inovasi, "Idea, Inovasi dan Inspirasi," mengetengahkan kreativiti luar biasa dan kecekapan teknologi dalam kalangan pelajar UMS,  menetapkan penanda aras baharu dalam pembinaan bakat di Labuan dan Sabah.

T2H 2024 yang dianjurkan oleh Fakulti Kewangan Antarabangsa Labuan (FKAL) dengan kerjasama Fakulti Komputeran dan Informatik serta Neurogine Sdn Bhd, disambut baik sebagai inisiatif transformasi untuk menangani pengaliran keluar bakat di peringkat serantau di samping memupuk pertumbuhan dalam kecerdasan buatan (AI) dan teknologi blockchain.

Pengerusi penganjur merangkap Dekan FKAL Prof Madya Dr Geoffrey Harvey Tanakinjal berkata program berkenaan adalah platform untuk memberi inspirasi kepada generasi perintis teknologi akan datang.

"Inovasi, tercetus dengan pantas, boleh hadir di mana-mana sahaja, tetapi hanya mereka yang bersifat ingin tahu akan memanfaatkan peluang itu," katanya kepada Bernama selepas majlis penyampaian hadiah T2H 2024 di UMSKAL hari ini.

Pertandingan ini menawarkan hadiah keseluruhan bernilai RM23,000, dengan pasukan yang merangkul tempat pertama menerima hadiah wang tunai RM10,000.

Program yang menerima tajaan Neurogine ini menarik penyertaan daripada peserta pelbagai bidang, menguji pelajar untuk menyelesaikan masalah melalui penyelesaian inovatif.

 Geoffrey berkata inisiatif ini bukan sahaja memupuk bakat malah meletakkan Labuan sebagai hab bagi pembangunan teknologi terkini.

Panel penghakiman, yang dipengerusikan bersama oleh Geoffrey dan Prof Madya UMSKAL Dr Mohd Hanafi Ahmad Hijazi turut melibatkan pemimpin industri terkemuka seperti Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Neurogine Owen Chen Chee Onn, CEO Labuan Shipyard and Engineering Shahrul Effendy Ahmad Tajudin dan Pengurus Kanan Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) Jesse Chooi Tze Keong.

 

Projek-projek yang dipertandingkan dinilai dengan mengambil kira bagaimana mereka mengaplikasikan penggunaan AI, teknologi blockchain dan penyelesaian praktikal yang menangani cabaran yang dihadapi di peringkat tempatan.

 

Menurut Owen Chen program ini adalah pemangkin kepada perubahan, mengukuhkan komitmen syarikat terhadap inovasi.

"Kami berbangga dengan bakat dan kreativiti yang dipamerkan peserta dan kami yakin T2H 2024 akan memangkin perubahan transformatif kepada Labuan dan Malaysia.

"T2H 2024 telah menetapkan asas terdahulu yang dinamik untuk inisiatif masa depan, mengukuhkan peranan baharu UMS dan Labuan dalam memacu kemajuan teknologi dan inovasi di seluruh Malaysia," katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan