WILAYAH - SARAWAK > BERITA

MOSTI LANCAR DASAR INOVASI SOSIAL 2025-2030 

16/12/2024 11:52 PM

BANGI, 16 Dis (Bernama) -- Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi  (MOSTI) hari ini melancarkan Dasar Inovasi Sosial (DIS) 2025-2030, sebagai strategi jangka panjang komprehensif untuk mengatasi pelbagai cabaran sosioekonomi rakyat Malaysia. 

Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Mohammad Yusof Apdal berkata menerusi DIS, kerajaan berhasrat untuk mencipta solusi yang praktikal dan berimpak tinggi bagi mengatasi cabaran-cabaran sosial di peringkat akar umbi seperti kemiskinan, kesenjangan pendidikan dan isu kesihatan yang membelenggu masyarakat.

"DIS juga berfungsi untuk menggalakkan kerjasama pelbagai pihak berkepentingan seperti agensi kerajaan, sektor swasta, institusi penyelidikan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) untuk membangunkan penyelesaian kreatif dan berimpak tinggi.

"Dalam melaksanakan dasar ini, Malaysia perlu bergerak ke arah menjadi pembangun teknologi dan bukan sekadar pengguna sahaja," katanya semasa berucap pada Majlis Peluncuran DIS 2025-2030 dan Malam Apresiasi Networking Inovator Sosial (MaNIS) bersempena Konvensyen Inovasi Sosial (KIS) 2024, di sini hari ini.

Turut hadir Ketua Setiausaha MOSTI Datuk Dr Aminuddin Hassim dan Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Inovasi Malaysia (YIM) Dr Sharmila Mohamed Salleh.

Mohammad Yusof berkata menyedari kepentingan penyelesaian yang inovatif dan efektif, DIS akan memperkasakan masyarakat menerusi pendekatan "isu tempatan, teknologi tempatan dan manfaat tempatan."

Beliau berkata usaha itu sejajar dengan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) dan prinsip alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) yang ditetapkan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan Pertubuhan Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi (OECD).

Beliau berkata DIS merupakan dasar sektoral yang menyokong Dasar Sains, Teknologi dan Inovasi Negara (DSTIN) 2021-2030.

Menurutnya DIS menjadi asas strategik untuk menangani cabaran sosioekonomi melalui pemerkasaan inovasi sosial sebagai agen perubahan dalam memacu peningkatan ekonomi negara berteraskan sains, teknologi, inovasi dan ekonomi (STIE). 

"MOSTI akan berperanan sebagai peneraju, penyelaras, pemudah cara dan pemantau pelaksanaan DIS manakala Yayasan Inovasi Malaysia bertindak sebagai rakan pelaksana inisiatif inovasi sosial," katanya.

-- BERNAMA




BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan