WILAYAH - SARAWAK > BERITA

IBU BAPA KES BAYI DISIMPAN DALAM PETI SEJUK DISARAN TAMPIL KE LZS

14/12/2024 06:33 PM

SHAH ALAM, 14 Dis (Bernama) -- Pasangan suami isteri yang tular berhubung dakwaan jenazah bayi mereka disimpan dalam peti mayat di Klang, baru-baru ini disaran tampil ke Lembaga Zakat Selangor (LZS) untuk proses bantuan.

Ketua Pegawai Eksekutif LZS Mohd Sabirin Mohd Sarbini berkata pihaknya masih menjejak pasangan berkenaan termasuk mendapatkan sumber yang mengeluarkan kisah mereka. 

Bagaimanapun beliau berkata pihaknya belum mendapat sebarang maklum balas mengenainya. 

"Kami cuba jejak dan jika (pasangan itu) dapat tampil, itu akan lagi cepatkan proses (bantuan). Jadi insya-Allah kita akan bantu pasangan ikut kategori yang layak sama ada kategori asnaf gharimin (orang berhutang),” katanya kepada pemberita selepas Majlis Anugerah Asnaf Cemerlang 2024 anjuran LZS di sini hari ini.  

Media semalam melaporkan, Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) tidak menerima sebarang aduan berhubung kejadian jenazah seorang bayi lelaki yang didakwa 'ditahan' dua minggu oleh sebuah hospital swasta di Klang. 

Pengerusinya Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berkata ketika ini MAIS menerusi LZS sedang mengesan ibu bapa kepada bayi terbabit.

Dalam pada itu, Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan dilaporkan berkata pihaknya akan memanggil wakil pihak hospital yang terlibat untuk dirakam keterangan berhubung kejadian tular itu.

Beliau memaklumkan pihaknya menerima laporan mengenai kejadian itu daripada bapa bayi berkenaan semalam dan kes diklasifikasikan di bawah kertas inkuiri polis bagi menentukan sama ada wujud unsur jenayah.  

Sebelum ini, tular menerusi media sosial kisah jenazah bayi lelaki itu yang didakwa ditahan dan disimpan dalam peti sejuk mayat selama dua minggu oleh sebuah hospital swasta selepas bapanya tidak mempunyai wang untuk membayar bil.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan