WILAYAH - SARAWAK > BERITA

PRN SABAH: GRS NYATA HASRAT TERUS BEKERJASAMA DENGAN PH - HAJIJI

15/12/2024 01:17 PM

KOTA KINABALU, 15 Dis (Bernama) -- Gabungan Rakyat Sabah (GRS) berhasrat untuk mengekalkan kerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.

Pengerusi GRS Datuk Seri Hajiji Noor berkata perkara itu telah dimaklumkan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Pengerusi PH dalam usaha untuk mengukuhkan perpaduan antara parti terutamanya parti yang menerajui kerajaan Sabah, sekali gus meneruskan usaha membela rakyat yang sedang dilaksanakan oleh kerajaan negeri.

Ketua Menteri Sabah itu berkata beliau juga telah memaklumkan kepada Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) mengenai kedudukan dan peluang GRS pada PRN Sabah akan datang.

"Yang lain itu (parti lain) kita tengok, kalau fikiran mereka bagus kita akan fikirkan sebab kita ini mahukan kebaikan, saya jadi Ketua Menteri dan yang saya mahu adalah perpaduan. Itu sebab tubuhkan GRS disertai lapan komponen parti, walaupun di dalamnya terdapat parti yang kecil, tidak menang dalam PRN lepas, tetapi niat saya baik untuk kita satu hati.

"Cukuplah dengan pelajaran kita di masa-masa yang lalu. Misi saya sekarang mahu baik dengan orang, kita kumpulkan presiden-presiden parti yang ada dan bukan senang mengurus ini, memang penat tetapi insya-Allah mereka juga sudah menyatakan komitmen dengan GRS," katanya dalam kenyataan hari ini.

Parti komponen GRS terdiri daripada Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat), Parti Maju Sabah (SAPP), Parti Bersatu Sabah (PBS), Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (USNO), Parti Harapan Rakyat Sabah (PHRS), Parti Liberal Demokratik (LDP) dan Parti Cinta Sabah (PCS).

Sementara itu, Hajiji yang juga Presiden Gagasan Rakyat mengingatkan semua ahli partinya untuk terus merapatkan barisan perpaduan dan fokus bekerja bagi persiapan menghadapi PRN akan datang.

"Bulan Oktober (tahun depan) adalah bulan berakhirnya tempoh kerajaan ini. Ini bermakna kita boleh bubar Dewan Undangan Negeri sebelum itu ataupun pada waktu itu," katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan