SHAH ALAM, 15 Dis (Bernama) -- Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mengesahkan terdapat perbincangan awal berhubung penyertaan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz ke dalam parti itu.
Perdana Menteri berkata PKR bersikap terbuka terhadap penyertaan mana-mana individu termasuk Tengku Zafrul ke dalam PKR asalkan individu berkenaan boleh menyumbang kepada parti.
“Prinsipnya kita ambil sikap terbuka, orang yang boleh beri sumbangan pada parti tapi dengan (kemasukan) cara baik supaya hubungan kita dengan parti-parti (lain) termasuk UMNO (tidak terjejas),” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Kongres Nasional Khas PKR di sini hari ini.
Sebelum ini media melaporkan dakwaan bahawa Tengku Zafrul akan meninggalkan UMNO dan menyertai PKR, selain dakwaan bahawa beliau akan menerajui Selangor menggantikan Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari yang akan ke Kabinet (Persekutuan).
Mengulas lanjut, Anwar menegaskan PKR tidak mengamalkan budaya mengajak orang lain (ahli parti lain) menyertai parti tetapi sedia berbincang kerana parti itu mengamalkan sikap terbuka.
Beliau berkata dalam sejarah parti, ada pemimpin PKR pernah menjadi Setiausaha Agung Amanah dan ada juga yang keluar menyertai DAP.
“Jadi berhubung dengan Keadilan (PKR), selama ini kita (sememangnya) buka ruang tapi selalunya kita runding dengan baik,” katanya.
Terdahulu, Anwar menghadiri kongres itu yang antara lainnya bertujuan untuk meminda perlembagaan parti.
Kongres itu diadakan selepas Kongres Nasional 2024 yang dijadual diadakan di Johor hari ini ditangguhkan susulan banjir yang melanda beberapa negeri.
Ketibaan Anwar di kongres yang diadakan secara hibrid selepas mengambil kira ada dalam kalangan perwakilan datang dari negeri yang terkesan banjir, disambut pimpinan utama parti termasuk Timbalan Presiden Rafizi Ramli.
Turut hadir Setiausaha Agung PKR Dr Fuziah Salleh dan Ketua Penerangan PKR Fahmi Fadzil.
Sebelum ini, Fuziah dilapor berkata Kongres Khas PKR itu antara lain akan meminda perlembagaan parti yang menyentuh jumlah perwakilan, kuota gender dan etnik.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial