KUALA TERENGGANU, 15 Dis (Bernama) -- Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar menafikan bahawa peletakan jawatannya sebagai Bendahari Agung Perikatan Nasional (PN) berpunca daripada keretakan dalam gabungan berkenaan.
Sebaliknya, Ahmad Samsuri yang juga Naib Presiden PAS berkata tindakan itu bertujuan memperkukuh PN supaya menjadi pakatan politik yang lebih kuat untuk menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16).
"Tidak berlaku keretakan apa-apa. Cuma kita (PN) sedang mencari jalan untuk memperkukuh PN...baca saya punya komen dalam Facebook yang saya petik (quote) dari Kareem Abdul-Jabbar. Kalau boleh tafsir...tafsir dari itulah," katanya kepada media selepas Majlis Imaratul Ilmi Ke-5 Kolej Al-Quran Terengganu di Taman Tamadun Islam, di sini hari ini.
Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Pembangunan Insan Terengganu Datuk Satiful Bahari Mamat.
Ditanya sama ada tindakannya meletak jawatan didorong oleh isu atau masalah peribadi, beliau enggan mengulas lanjut dan menyerahkan kepada kepimpinan tertinggi untuk menyelesaikan perkara tersebut dan turut menjelaskan keputusan mengejutnya itu juga tiada kaitan dengan keputusan Parti Maju Sabah (SAPP) menarik diri daripada PN, semalam.
Pada Rabu lepas, Ahmad Samsuri menerusi kenyataan ringkas kepada barisan kepimpinan PAS Pusat mengumumkan melepaskan jawatan sebagai Bendahari Agung PN.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial