WILAYAH - SARAWAK > BERITA

SKUAD PRIHATIN MYIPO BANTU MANGSA BANJIR DI KELANTAN

16/12/2024 03:28 PM

PETALING JAYA, 16 Dis (Bernama) -- Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) hari ini melancarkan misi bantuan pascabanjir ke tiga lokasi di Kelantan yang terjejas teruk dalam bencana itu baru-baru ini.

Pengerusi MyIPO Dr Mohd Zuhan Mohd Zain berkata misi bantuan Skuad Prihatin MyIPO itu melibatkan 20 orang sukarelawan yang akan terlibat dalam kerja-kerja pembersihan di Rantau Panjang, Tumpat dan Lubok Jong di Pasir Mas.

“Skuad ini menyahut seruan kerajaan untuk membantu mangsa banjir sejajar dengan arahan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Armizan Mohd Ali,” katanya selepas majlis pelepasan skuad berkenaan di lobi Menara MyIPO di sini.

Mohd Zuhan berkata skuad itu dijangka berada di Kelantan selama tiga hari untuk menyempurnakan misi berkenaan dan mereka akan turut mengagihkan 500 unit kipas kepada mangsa banjir di kawasan terlibat.

Beliau berkata sumbangan itu diharap dapat meringankan beban mangsa banjir yang memerlukan sokongan moral dan material, terutama dalam fasa pascabanjir.

Pada majlis sama, Mohd Zuhan turut menyampaikan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat termasuk petugas MyIPO yang menunjukkan komitmen tinggi untuk menjayakan misi itu.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan