WILAYAH - SARAWAK > BERITA

SKUAD IHSAN MADANI DENGAN KEKUATAN 529 WARGA KERJA DIGERAKKAN - FAHMI

17/12/2024 01:40 PM

PUTRAJAYA, 17 Dis (Bernama) -- Skuad Ihsan MADANI Kementerian Komunikasi dengan kekuatan 529 warga kerja digerakkan untuk bantuan pasca banjir, kata Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil.

Beliau berkata usaha itu juga sebagai persiapan di negeri yang dijangka menghadapi banjir gelombang ketiga.

Jurucakap Kerajaan Perpaduan itu berkata beliau juga telah meminta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) meningkatkan pemantauan menara-menara yang rosak atau tidak aktif akibat banjir di negeri-negeri berkenaan.

"Saya minta persiapan untuk tahun depan dimulakan awal dengan menaik taraf menara-menara, yang dalam beberapa tahun kebelakangan sering terkesan akibat banjir. 

"Banyak berlaku di negeri Kelantan, di Parlimen Pasir Mas dan Rantau Panjang berdekatan dengan Sungai Golok yang kita lihat sering berlaku (banjir)," katanya kepada media selepas perhimpunan bulanan Kementerian Komunikasi di sini hari ini.

Fahmi berkata beliau turut meminta Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi Datuk Mohamad Fauzi Md Isa agar segera menyalurkan bantuan kepada warga kementerian yang terjejas akibat bencana banjir.

Selain itu Fahmi berkata beliau juga meminta Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) untuk menyalurkan bantuan menerusi Tabung Kasih@HAWANA kepada pada wartawan yang terjejas.

Tabung Kasih@HAWANA kendalian Bernama telah mengagihkan bantuan kepada 234 penerima dalam kalangan pengamal media termasuk 30 orang penerima mangsa banjir.

Sementara itu Kementerian Komunikasi dalam kenyataan memaklumkan 324 stesen pemancar komunikasi yang sebelum ini terjejas di empat negeri telah pulih dan kembali beroperasi seperti biasa.

Sebelum ini MCMC melaporkan 324 buah stesen pemancar komunikasi telah terjejas di empat buah negeri, iaitu 264 di Kelantan, 49 di Terengganu, 10 di Pahang dan satu di Johor. 

Manakala operasi 99 buah Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) turut terkesan akibat banjir, dengan 98 daripadanya telah kembali beroperasi.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan