WILAYAH - SARAWAK > BERITA

LIGA SUPER: JDT KERJA KERAS TEWASKAN SRI PAHANG 3-1 DI LAMAN SENDIRI

18/12/2024 12:20 AM

KUALA LUMPUR, 17 Dis (Bernama) -- Juara bertahan Johor Darul Ta'zim (JDT) berjaya mengekalkan rekod tanpa kalah meskipun dipaksa berkerja keras sebelum berhasil menewaskan Sri Pahang FC 3-1 pada aksi Liga Super di Stadium Sultan Ibrahim, di Iskandar Puteri malam ini. 

Babak pertama permainan berkesudahan tanpa sebarang jaringan selepas kedua-dua pasukan gagal menemui sentuhan penyudah, sebelum kesilapan pemain pertahanan Sri Pahang FC, Adam Nor Azlin menjaringkan sendiri ke gawang tuan rumah memberi kelebihan kepada JDT mendahului seawal minit ke-48.

Skuad kendalian Hector Bidoglio kemudian bangkit menggandakan jaringan menerusi penyerang berbisa Bergson Da Silva empat minit kemudian. 

Sri Pahang merapatkan kedudukan menerusi tandukan David William Rowley selepas menerima hantaran sudut Mykola Ahapov pada minit ke-53.

JDT menamatkan perlawanan menerusi sepakan penalti yang disempurnakan Bergson pada minit kecederaan selepas Arif Aiman Mohd Hanapi dijatuhkan Aleksandar Cvetkovic untuk menjadikan keputusan 3-1. 

Sementara itu, aksi di Stadium Majlis Perbandaran Manjung (MPM) menyaksikan Selangor menumpaskan Perak FC 2-1 sebagai pasukan pelawat. 

Selangor berhasil mendapat gol pembukaan pada minit ke-41 menerusi ayam tambatan Alvin Fortes sebelum beliau meledak jaringan kedua pada minit ke-71. 

Perak FC berjaya memperoleh gol saguhati menerusi pemain berpengalaman Wan Zack Haikal pada minit ke-88 selepas menerima umpanan daripada Firdaus Saiyadi. 

Selangor berjaya menambah jaringan menerusi Quentin Cheng pada minit akhir perlawanan namun pengadil perlawanan Muhammad Nazmi Nasaruddin membatalkan jaringan tersebut selepas melihat video bantuan pengadil (VAR).

Di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur Cheras menyaksikan Kuala Lumpur City FC (KL City) memanfaatkan beraksi di lama sendiri untuk mengecewakan Negeri Sembila FC (NSFC) 2-1.

Dua jaringan skuad The City Boys masing-masing dihasilkan Paulo Josue pada minit ke sembilan dan Brendan Gan tiga minit kemudian sebelum pasukan Hobin Jang Hobin merapatkan kedudukan menerusi Jacque Faye ke-36. 

Keputusan aksi malam ini menyakasikan JDT kekal di tangga teratas dengan 46 mata keseluruhan di atas Selangor (35 mata), Perak di tangga keenam (18 mata), diikuti KL City di tangga kelapan (17 mata) di atas Sri Pahang di tangga kesembilan (15 mata) dan NSFC di tangga tercorot (enam mata). 

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan