WILAYAH - SARAWAK > BERITA

SEGALA KEPUTUSAN ASEAN DITETAPKAN BLOK SERANTAU ITU SENDIRI, TIDAK TERIKAT DENGAN PENASIHAT - FAHMI

17/12/2024 03:36 PM

PUTRAJAYA, 17 Dis (Bernama) -- Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil berkata segala keputusan berkaitan ASEAN akan diputuskan oleh blok serantau itu sendiri tanpa pengaruh pihak luar. 

Beliau berkata nasihat yang diberikan oleh mana-mana anggota kumpulan penasihat tidak formal kepada Kepengerusi ASEAN 2025 adalah bersifat panduan dan tidak mengikat.

Beliau yang juga jurucakap Kerajaan Perpaduan berkata pelantikan bekas Perdana Menteri Thailand Thaksin Shinawatra sebagai penasihat tidak rasmi untuk membantu Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN mencerminkan komitmen Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mahu melakukan yang terbaik untuk ASEAN.

"Tak ada masalah dari segi keteraturan bagi Pengerusi ASEAN melantik siapa-siapa menjadi penasihat kepada beliau (perdana menteri), bukan kepada ASEAN, kerana untuk menjadi Pengerusi ASEAN adalah sekali setiap 10 tahun. Jadi peluang yang cukup penting," katanya kepada media selepas perhimpunan bulanan Kementerian Komunikasi, di sini hari ini.

Fahmi berkata niat dan hasrat perdana menteri adalah untuk memanfaatkan tempoh Kepengerusian ASEAN 2025 dengan sebaiknya, dengan mengambil kira pandangan dan pengalaman pemimpin-pemimpin yang berpengaruh untuk mengemudi Kepengerusian ASEAN.

"Dapatan hasil daripada perbincangan mereka itu akan menjadi nasihat dan panduan untuk Perdana Menteri. Akhirnya apapun keputusan bagi ASEAN akan diputuskan oleh ASEAN itu sendiri bukan oleh mana-mana pihak yang lain," katanya.

Beliau berkata Perdana Menteri telah memaklumkan hasratnya berhubung pelantikan anggota penasihat tidak formal, dengan mengemukakan nama-nama tokoh berwibawa, termasuk Thaksin kepada Jemaah Menteri, yang tidak mempunyai sebarang bantahan terhadap keputusan itu. 

"Pernyataan rasmi berhubung pelantikan dan peranan penasihat kepada Kepengerusian ASEAN 2025 akan dikeluarkan oleh Pejabat Perdana Menteri (PMO) atau Kementerian Luar," katanya.

"Mereka (tokoh) bukan orang biasa, (tapi) yang sangat berpengalaman dan faham tentang perkembangan. Jadi saya nampak ini langkah yang betul, dan sejujurnya dalam banyak perkara Perdana Menteri sering mendapatkan pandangan, nasihat terlebih dahulu sebelum melakukan sesuatu. Saya berpendapat beliau (Perdana Menteri) berhasrat melakukan perkara yang betul bagi ASEAN dan dia mahu mendapatkan input sebanyak mungkin," katanya.

Pelantikan Thaksin yang dicadangkan oleh Malaysia dan dipersetujui oleh Thailand, diumumkan oleh Anwar dalam sidang media bersama rakan sejawatannya dari Thailand, Paetongtarn Shinawatra semalam.

Malaysia secara rasmi akan memegang jawatan pengerusi ASEAN pada 1 Januari tahun depan dengan tema "Keterangkuman dan Kemampanan", yang mencerminkan aspirasi negara untuk memupuk ASEAN yang bersatu dan makmur.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan