WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Tiada Pertuduhan Berhubung Siasatan Tender Perkhidmatan 1BestariNet KPM - SPRM

19/12/2024 05:25 PM

PUTRAJAYA, 19 Dis (Bernama) -- Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini mengesahkan tiada pertuduhan akan dikenakan terhadap mana-mana pihak berhubung pelaksanaan kontrak projek 1BestariNet di bawah Kementerian Pendidikan (KPM).  

Dalam kenyataan hari ini, SPRM memaklumkan keputusan itu dibuat setelah pihaknya menerima arahan berkenaan daripada Timbalan Pendakwa Raya (TPR). 

“Keputusan ini dibuat berdasarkan dapatan siasatan SPRM yang dijalankan sejak September lalu, yang mendapati tiada unsur jenayah dalam pelaksanaan tender tersebut,” menurut kenyataan itu. 

Sebagai langkah susulan, SPRM memaklumkan siasatan telah dijalankan oleh Bahagian Penyiasatan Tatakelola SPRM yang memberi tumpuan kepada aspek tadbir urus serta isu berkaitan tuntutan kewangan dalam kontrak antara YTL Communications Sdn Bhd dan KPM.  

“Sehubungan itu, TPR telah mengarahkan SPRM untuk menyerahkan laporan penuh hasil dapatan siasatan kepada KPM, berserta syor-syor penambahbaikan.

“Antara langkah utama yang disyorkan ialah agar KPM kembali ke meja perundingan bersama YTL Communications Sdn Bhd untuk mengenal pasti dan menyelesaikan sebarang isu berbangkit daripada kontrak tender perkhidmatan yang telah dipersetujui,” menurut kenyataan itu. 

Sebelum ini, Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki berkata SPRM menumpukan kepada aspek pembekalan data Internet dan mutu perkhidmatan dalam siasatan terhadap projek 1BestariNet kepada sekolah di seluruh negara.

Pada 30 Okt lepas, YTL Power International Bhd menjelaskan pihaknya telah diberikan projek 1Bestarinet melalui proses tender terbuka, dan menepis tuduhan salah laku.

Syarikat utiliti elektrik itu memaklumkan tender tersebut diberikan apabila bidaan pihaknya adalah yang paling mematuhi teknikal dan efektif dari segi kos berbanding kalangan 18 pembida, menunjukkan keupayaan dan merit syarikat.

YTL Power menjelaskan anak syarikat 60 peratus miliknya, YTL Communications Sdn Bhd akan terus memberikan kerjasama penuh kepada SPRM yang menjalankan siasatan berkaitan perkara itu.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan