WILAYAH - UTARA > BERITA

Hampir 10,000 Pengunjung Hadir Festival Udara Taiping 2024

21/12/2024 05:04 PM

TAIPING, 21 Dis (Bernama) -- Penganjuran Festival Udara Taiping (FUT) 2024 yang berlangsung di Lapangan Terbang Tekah di sini berjaya menarik hampir 10,000 pengunjung sepanjang empat hari ia diadakan.

Festival yang julung kali diadakan dan dianjurkan oleh Kelab Sukan Udara Taiping (Kesut) dengan kerjasama antaranya daripada Tourism Perak dan Majlis Perbandaran Taiping (MPT).

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Perladangan, Pertanian dan Industri Makanan negeri, Datuk Mohd Zolkafly Harun, ketika merasmikan festival itu, turut menyampaikan penghargaan dan memuji penganjuran acara yang berlangsung sejak Khamis lalu dan berakhir esok.

"Festival ini juga berjaya menarik penyertaan daripada peserta luar negara seperti Rusia, United Kingdom, Thailand, Singapura, Pakistan, dan tuan rumah Malaysia, yang mengambil bahagian dalam acara seperti aircraft fly-in, microlight joyride, paramotor, dan payung terjun.

"Menariknya festival ini telah menghidupkan kembali sejarah kawasan Lapangan Terbang Tekah yang merupakan antara khazanah warisan Taiping paling bernilai," katanya ketika ditemui selepas majlis perasmian mewakili Menteri Besar Datuk Seri Saarani Mohamad di sini hari ini.

Mohd Zolkafly berkata pihaknya turut mencadangkan agar penganjuran FUT dimasukkan dalam kalendar Tahun Melawat Perak (TMP) dan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) sebagai acara tahunan negara.

"Festival udara ini bukan sahaja mampu merancakkan sektor pelancongan negara dengan penyertaan luar negara, malah mampu meningkatkan ekonomi masyarakat sekitar Taiping melalui penganjuran bertaraf antarabangsa," katanya. 

Beliau berkata Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) Larut, Matang dan Selama (LMS) kini dalam proses pewartaan dengan kerajaan negeri agar nilai sejarah kawasan itu terus dipelihara.

Dibina pada tahun 1929, Lapangan Terbang Tekah pernah menjadi saksi sejarah apabila Presiden Indonesia, Soekarno dan Mohammad Hatta pernah mendarat di sini pada 12 Ogos 1945 untuk bertemu dengan tokoh nasionalis negara Dr Burhanuddin Helmi serta Ibrahim Yaacob untuk berbincang kemungkinan penyatuan Malaya dan Indonesia (Melayu Raya) sekiranya mencapai kemerdekaan.

Selain itu, lapangan terbang berkenaan pernah menjadi tumpuan dunia apabila seorang juruterbang wanita Amerika terkemuka, Amelia Earhart berhenti mendarat di sana pada 7 Jun 1937 untuk mengisi bahan api sewaktu dinobatkan sebagai wanita pertama membuat penerbangan solo di Lautan Atlantik.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan