WILAYAH - UTARA > BERITA

Pekerja, Usahawan Cari Rezeki Di Pulau Pinang Wajib Bayar Zakat Kepada ZPP

22/12/2024 08:44 PM

GEORGE TOWN, 22 Dis (Bernama) -- Pekerja, peniaga dan usahawan Islam yang menjalankan perniagaan di Pulau Pinang diwajibkan membayar zakat termasuk zakat perniagaan kepada Zakat Pulau Pinang (ZPP) berdasarkan kaedah pengiraan yang ditetapkan badan zakat itu.

Mufti Pulau Pinang Prof Madya Datuk Dr Mohd Sukki Othman berkata perkara itu diputuskan oleh Jawatankuasa Fatwa Negeri Pulau Pinang yang bersidang pada 10 hingga 12 Sept lepas.

"Menerusi jawatankuasa itu, hukum pembayaran zakat kepada amil yang dilantik oleh Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) adalah wajib dan bayaran zakat secara terus kepada asnaf yang layak adalah sah namun perbuatan membelakangkan amil yang dilantik oleh MAINPP adalah berdosa serta menyalahi hukum syarak.

"Selain itu, haram memindahkan zakat ke luar negeri Pulau Pinang berdasarkan maslahah semasa kerana ia menafikan hak dan menjejaskan keperluan asnaf," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata penting membayar zakat di tempat rezeki diperoleh kerana Islam menganjurkan agar zakat diagihkan kepada golongan asnaf di tempat rezeki diperoleh, bertujuan memastikan asnaf setempat mendapat manfaat langsung daripada kutipan zakat itu.

Mohd Sukki berkata keputusan itu diambil selaras dengan usaha memastikan kebajikan masyarakat asnaf di Pulau Pinang terutama dalam konteks negeri berkenaan yang menjadi hab pelaburan tinggi dan mempunyai potensi kutipan zakat yang besar.

Sehubungan itu, beliau menyeru semua pihak, khususnya para pekerja dan majikan di sektor industri agar memastikan zakat harta, pendapatan dan perniagaan dibayar melalui saluran yang sah di bawah pentadbiran MAINPP.

MAINPP juga akan meningkatkan kerjasama dengan agensi-agensi berkaitan serta sektor industri untuk memberi kefahaman dan galakan kepada pekerja serta majikan tentang kepentingan pembayaran zakat di tempat rezeki diperoleh.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan