WILAYAH - TIMUR > BERITA

PJRM Terengganu Catat Nilai Jualan Lebih RM39 Juta

24/12/2024 02:54 PM

KUALA TERENGGANU, 24 Dis (Bernama) -- Program Jualan RAHMAH MADANI (PJRM) di Terengganu mencatatkan nilai jualan melebihi RM39 juta daripada 854 siri penganjuran tahun ini.

Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Terengganu Saharuddin Mohd Kia berkata ia melibatkan tiga model pelaksanaan iaitu 366 siri JPRM di dalam premis; 486 siri PJRM bergerak dan dua siri PJRM terbuka di lapan Parlimen.

Beliau berkata seramai 928,410 pengunjung telah mendapat manfaat daripada program itu yang menyasarkan golongan B40.

"Maklum balas pengunjung yang diterima rata-rata menyambut baik program ini dan meminta supaya kerajaan meneruskan PJRM pada masa depan.

"Pengunjung terutama daripada kalangan B40 juga mengakui program ini sangat membantu meringankan beban kewangan mereka terutama daripada aspek perbelanjaan dapur memandangkan harga yang ditawarkan lebih rendah sehingga 40 peratus berbanding harga pasaran," katanya selepas pelancaran Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Krismas 2024 di sebuah pusat beli-belah di sini hari ini.            

Majlis pelancaran berkenaan disempurnakan Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna Terengganu Ariffin Deraman.

Dalam perkembangan lain, Saharuddin berkata KPDN Terengganu juga telah melaksanakan 48,697 siri operasi di seluruh negeri bermula Januari hingga semalam.

Beliau berkata sebanyak 599 kes berjaya dihasilkan atas pelbagai kesalahan mengikut Akta Kawalan Harga Dan Antipencatutan 2011; Akta Timbang Dan Sukat 1972; Akta Perihal Dagangan 2011; Akta Jualan Langsung dan Skim Anti Piramid 1993.

"RM4 juta nilai rampasan dan kutipan kompaun sebanyak RM268,200 direkodkan tahun ini.

"Selain itu, dua kes mahkamah telah disabit kesalahan dan dikenakan hukuman denda berjumlah RM102,500 bagi kesalahan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 dan Akta Perlindungan Pengguna 1999," katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan