Oleh Mohd Ashraf Syafiq Mazlan
PUTRAJAYA, 26 Dis (Bernama) -- Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan memberi tumpuan kepada usaha membanteras rasuah dalam aspek perolehan, penguatkuasaan, dan ‘grand corruption’ pada tahun hadapan.
Langkah ini bertujuan membantu pertumbuhan ekonomi negara, mengurangkan ketirisan, serta mengembalikan aset dan wang negara yang telah diselewengkan.
Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki berkata suruhanjaya itu akan melaksanakan transformasi struktur melalui penambahbaikan pendekatan kerja, selain memperkukuhkan fungsi dan peranan setiap bahagian agar lebih efektif dalam melaksanakan tugas
“Sebagai Ketua Pesuruhjaya, saya akan melakukan ‘revamp’ terhadap pendekatan yang digunakan di SPRM, termasuk cara bekerja, berfikir, dan mindset. Langkah ini penting agar SPRM tidak terperangkap dalam zon selesa.
“Kita perlu menjalani transformasi untuk meningkatkan keberkesanan dan kepakaran, sekali gus memastikan pegawai lebih profesional dalam melaksanakan tugas yang berimpak,” katanya kepada Bernama.
Beliau berkata penekanan khusus akan diberikan terhadap penyiasatan tatakelola dengan penjenamaan semula Bahagian Pemeriksaan dan Perundingan (PERUN) kepada Bahagian Penyiasatan Tatakelola (BPT).
“Ia sekali gus memberikan taring kepada SPRM untuk memastikan hasil penyiasatan tatakelola diimplementasikan oleh jabatan terlibat.
“Penting bagi menutup ruang dan peluang rasuah, selaras dengan usaha memperkasakan governans dan amalan tatakelola,” katanya.
Mengulas mengenai peningkatan peruntukan kepada SPRM dalam Belanjawan 2025, Azam merakamkan penghargaan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, atas kelulusan peruntukan tambahan untuk suruhanjaya itu.
“Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri atas kelulusan tambahan 200 pegawai. Kami kini sedang bekerjasama rapat dengan Suruhanjaya Perkhidmatan Awam bagi melaksanakan proses pengambilan ini.
“Penambahan pegawai ini bertujuan memperkukuh bahagian operasi SPRM, terutamanya dalam bidang berkaitan pengubahan wang haram dan kes berprofil tinggi. Ini adalah selaras dengan strategi yang telah ditetapkan bagi 2025 dan tahun-tahun seterusnya,” katanya.
Beliau berkata tambahan peruntukan kepada SPRM juga akan dimanfaatkan untuk mempromosikan tadbir urus yang baik khususnya dalam sektor awam, memperkukuhkan kerjasama antarabangsa dengan pelbagai negara serta menyokong program pencegahan dan pendidikan yang lebih berimpak.
Selain itu, SPRM akan menyemak semula semua prosedur operasi standard (SOP) yang berkaitan dengan Perintah Tetap Ketua Pesuruhjaya bagi menangani cabaran semasa, memandangkan kes-kes rasuah kini semakin rumit dan kompleks.
“Berdasarkan kekuatan kakitangan semasa, adalah penting untuk mengamalkan pendekatan yang tepat dengan menilai semula strategi yang digunakan di semua sektor SPRM,” katanya.
Sebelum ini, Anwar yang juga Menteri Kewangan ketika membentangkan Belanjawan 2025, mengumumkan peruntukan SPRM ditingkatkan kepada RM360 juta ringgit pada 2025 berbanding RM338 juta yang diterima tahun ini.
Beliau berkata kerajaan memberi kebebasan sepenuhnya kepada SPRM untuk menyiasat dan mengambil tindakan tegas, bagi memastikan pesalah rasuah diheret ke muka pengadilan.
-- BERNAMA\
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial