WILAYAH - SELATAN > BERITA

Belanda, Hong Kong, Jepun Rekod Pelaburan Tertinggi Di Melaka

27/12/2024 05:38 PM

MELAKA, 27 Dis (Bernama) -- Tiga negara mencatatkan jumlah pelaburan tertinggi di Melaka ialah Belanda, Hong Kong dan Jepun, kata Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Ab Rauf Yusoh.

Beliau berkata Belanda merekodkan jumlah pelaburan bernilai RM8.4 bilion dengan peluang pekerjaan ditawarkan sebanyak 2,505, diikuti Hong Kong sebanyak RM1.7 bilion (1,230 peluang pekerjaan) manakala Jepun RM1.296 bilion (7,359 peluang pekerjaan).

Sektor elektrik dan elektronik antara tiga bidang merekodkan jumlah pelaburan tertinggi dengan nilai pelaburan RM11.975 bilion dan 8,192 peluang pekerjaan ditawarkan, diikuti projek mineral dan bukan metalik berjumlah RM1.840 bilion (1,276 peluang pekerjaan) manakala mesin serta peralatan berjumlah RM1.671 bilion (1,194 peluang pekerjaan).

"Kerajaan Negeri Melaka komited memastikan peningkatan pelaburan sektor berkenaan dengan menerokai banyak peluang pembangunan kawasan industri berteknologi tinggi dan berteraskan prinsip ESG iaitu alam sekitar, sosial dan tadbir urus.

"Antara insiatif utama adalah pembangunan kawasan industri baharu seperti MCorp Hi-Tech Park dan German Technology Park untuk memenuhi keperluan pelabur yang semakin menekankan kelestarian teknologi dan inovasi," katanya pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka di Seri Negeri di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan dikemukakan Datuk Zaidi Attan (BN-Serkam) yang ingin tahu mengenai tiga negara tertinggi melabur di Melaka merangkumi bidang dan jumlah pelaburan serta peluang pekerjaan ditawarkan.

Mengulas lanjut, Ab Rauf berkata menerusi usaha yang dilaksanakan, kerajaan negeri berhasrat menarik pelabur yang berminat terhadap infrastruktur moden, tenaga kerja berkemahiran tinggi serta pendekatan pembangunan mampan.

Beliau berkata langkah itu juga seiring usaha kerajaan negeri untuk meningkatkan daya saing Melaka sebagai destinasi pelabur terutamanya dalam sektor pembuatan seperti elektrik dan elektronik, semikonduktor, pemesinan serta peralatan.

Kerajaan negeri turut mengambil langkah proaktif untuk memastikan bekalan tenaga mencukupi serta memiliki kemahiran diperlukan.

"Dalam usaha ini, kerajaan negeri telah menubuhkan Majlis TVET negeri pada 29 Okt 2022 sebagai platform strategik untuk memperkukuh hubungan antara industri dan institusi pendidikan serta latihan teknikal dan vokasional.

"Majlis ini bertujuan menangani jurang kerja dan memastikan kemahiran dilatih di institusi TVET sejajar keperluan semasa dan industri," katanya

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan