KOTA BHARU, 28 Dis (Bernama) -- Pasukan Gerakan Am (PGA) Briged Tenggara berjaya menahan dua lelaki berusia 19 dan 34 tahun yang disyaki memiliki senjata api dan dadah di Kampung Degong, Pasir Mas, semalam.
Komander Briged Tenggara PGA Datuk Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid berkata tangkapan dan rampasan dilakukan oleh sepasukan anggota Batalion 9 PGA ketika serbuan di sebuah pondok di kampung tersebut melalui Op Taring Wawasan Kelantan, pada kira-kira pukul 7 pagi.
"Dua suspek terbabit cuba melarikan diri, namun berjaya diberkas. Hasil pemeriksaan menjumpai selaras senjata jenis Rifle/Carbine, selaras Pump Gun, 124 butir peluru hidup, 76 gram dadah jenis ganja, 27 biji pil Yaba, 6.2 gram dadah jenis syabu dan dua unit telefon bimbit milik suspek,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata kedua-dua suspek telah dibawa ke Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah Pasir Mas untuk tindakan lanjut dan saringan awal ujian air kencing mendapati mereka positif dadah jenis Methamphetamine.
Kes disiasat di bawah Seksyen 8(a) Akta Senjata 1960 dan Seksyen 39A, Seksyen 12(2) serta Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya 1952.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial