WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Indonesia Utamakan Perpaduan ASEAN, Tangani Cabaran Serantau Dan Global - Sugiono

10/01/2025 08:16 PM

JAKARTA, 10 Jan (Bernama) -- Indonesia akan terus mengutamakan perpaduan dan kepusatan ASEAN di rantau ini sambil menggalakkan sokongan lebih luas serta menghormati Perjanjian Persahabatan dan Kerjasama (TAC), kata Menteri Luar Indonesia Sugiono.

Berucap pada Kenyataan Akhbar Tahunan 2025 di sini pada Jumaat, beliau berkata pentadbiran baharu di bawah Presiden Prabowo Subianto telah mengesahkan keinginan Indonesia untuk menjadi jiran yang baik, yang secara semula jadi bermula dengan rantau ASEAN.

“Dalam kumpulan geopolitik Asia-Pasifik semasa, keutamaan ini turut merangkumi pelaksanaan kewajipan undang-undang oleh negara rakan di luar rantau yang telah menyertai TAC,” katanya.

Sugiono turut menegaskan bahawa Indonesia akan berusaha secara aktif  membantu menyelesaikan krisis politik dan kemanusiaan di Myanmar.

Selain itu, Indonesia kekal komited menyokong perjuangan Palestin, menyediakan bantuan kemanusiaan, dan menyokong Agensi Bantuan dan Kerja Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian Palestin di Asia Barat   (UNRWA).

Indonesia juga menyasarkan untuk memperkukuh hubungan dengan negara-negara Pasifik dengan menjadi rakan pembangunan yang setara, berlandaskan prinsip saling menghormati dan menghargai.

Sebagai anggota baharu BRICS, Indonesia akan memastikan ia berperanan sebagai jambatan antara kepentingan negara membangun dan rantau Indo-Pasifik, sambil aktif menangani ketegangan geoekonomi dan geopolitik yang semakin meningkat, kata Sugiono.

Mengenai Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Indonesia akan memainkan peranan utama dalam memacu pembaharuan multilateralisme untuk menyokong dan memperkukuh organisasi itu agar lebih relevan dengan keperluan semasa anggotanya.

“Ini termasuk sebuah seni bina kewangan antarabangsa yang berdaya tahan dan inklusif, serta memberi ruang kepada kepimpinan Selatan Global sebagai kuasa baharu mewakili 85 peratus populasi dunia,” katanya.

Sugiono berkata: “Langkah ini penting untuk menjadikan tadbir urus global lebih relevan dan memastikan ia tidak dikuasai golongan kaya dengan mengorbankan golongan miskin.”

-- BERNAMA


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan