WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Metronic Global Dapat Projek Skim Bekalan Air Sungai Rasau RM31 Juta

10/01/2025 10:58 PM

KUALA LUMPUR, 10 Jan (Bernama) -- Metronic Global Bhd, melalui MAT JV Sdn Bhd, berjaya memperoleh projek skim bekalan air bernilai RM31 juta di Selangor.

MAT JV merupakan anak syarikat Metronic Engineering Sdn Bhd, yang seterusnya, adalah subsidiari milik penuh Metronic Global. 

Dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia hari ini, Metronic Global berkata MAT JV telah menerima dan menerima surat anugerah (LOA) daripada Gamuda M&E Sdn Bhd untuk pelantikan sebagai sub-kontraktor berhubung sistem instrumentasi bagi Projek Skim Bekalan Air Sungai Rasau.

MAT JV memiliki kepakaran dalam perniagaan mereka bentuk, memasang serta menyelenggara Voltan Rendah Tambahan (ELV), sistem automasi bangunan/industri dan elektrik.

Metronic Global berkata MAT JV akan bekerjasama dengan pembekal teknologi pengukuran serta automasi tempatan dan global yang terkenal untuk proses dan makmal.

“MAT JV juga akan menyediakan sokongan teknikal yang komprehensif, menawarkan perkhidmatan termasuk penyelesaian untuk memenuhi keperluan pengukuran dan automasi bagi industri proses di Malaysia,” katanya.

Skim Bekalan Air Rasau baharu kerajaan Selangor merupakan inisiatif Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd untuk memastikan kelestarian bekalan air bersih serta selamat bagi generasi akan datang di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya.

Pembangunan tersebut merupakan pelan jangka panjang untuk meningkatkan lagi margin rizab air, terutama kepada pengguna di wilayah Klang.

Setelah siap sepenuhnya, projek itu akan menjadi skim bekalan air terbesar di Asia Tenggara.

Projek itu merangkumi beberapa bekas kolam perlombongan bijih timah yang berfungsi sebagai kemudahan penyimpanan luar sungai (ORS).

Kontrak berkenaan bermula pada Januari 2025 dan disasarkan siap menjelang Januari 2027.

“Selain mana-mana keadaan di luar jangkaan, kontrak itu dijangka menyumbang secara positif terhadap pendapatan masa depan dan aset bersih sesaham Kumpulan Metronic bagi tahun kewangan berakhir 31 Okt 2025, dan seterusnya sehingga tamat kontrak,” katanya.

-- BERNAMA


 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan