ALOR SETAR, 11 Jan (Bernama) -- Tiga nelayan dikhuatiri hilang selepas tidak pulang ke pangkalan setelah menjalankan aktiviti merawai di kedudukan 10.9 batu nautika barat Pulau Payar, sejak petang semalam.
Pengarah Zon Maritim Kuala Kedah, Komander Maritim Noor Azreyanti Ishak berkata mangsa dikenali sebagai Asrulhisham Zainon, 47, anaknya Mohd Aiman Asrulhisham, berusia 20-an dan seorang lagi mangsa yang dikenali sebagai Mohd Amin, yang juga berusia 20-an.
Katanya Maritime Rescue Sub Centre (MRSC) Langkawi menerima panggilan daripada anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Muda memaklumkan laporan kehilangan dibuat oleh adik salah seorang mangsa.
“Bertindak atas laporan itu, MRSC Langkawi telah mengaktifkan operasi mencari dan menyelamat (CARILAMAT) serta mengatur gerak bot Perkasa 1224 ke lokasi yang dimaklumkan untuk membuat pencarian,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata bagaimanapun, setakat ini tiada sebarang petunjuk atau maklumat berkaitan kehilangan dan keberadaan kesemua mangsa.
“Usaha mengesan mangsa ini turut melibatkan aset dari polis, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) serta Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).
“APMM turut mengalu-alukan orang ramai untuk melaporkan sebarang kecemasan atau aktiviti jenayah melalui saluran talian kecemasan 999 atau Pusat Operasi Maritim Malaysia Zon Maritim Kuala Kedah di talian 04-7310 579,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial