WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Hati-Hati Apabila Anak Tidur Berdengkur

14/01/2025 10:57 AM


From Balkish Awang

Sejak enam bulan lalu, Isyraf Mikael (bukan nama sebenar) yang baru berusia tujuh tahun, mengeluarkan bunyi dengkur yang kuat semasa tidur. 

Kanak-kanak ini berdengkur bukan hanya ketika tidur di waktu malam tetapi juga semasa dalam perjalanan ke sekolah, membuatkan rakan-rakan yang menaiki kenderaan sama terperanjat. 

Bagi sesetengah orang, kanak-kanak tidur berdengkur mungkin melucukan, namun kata pakar, ada isu kesihatan di sebalik perkara itu yang perlu ditangani segera.

Jika dibiarkan berlarutan tanpa diagnosis dan rawatan sewajarnya, kanak-kanak berkenaan terdedah kepada komplikasi seperti tumbesaran terbantut, masalah pembelajaran, hipertensi, kencing manis, penyakit jantung malah boleh membawa maut. 

 

DUA JENIS DENGKUR

 

Menurut Pakar Perunding Telinga, Hidung dan Tekak (ENT)  Hospital Columbia Setapak Dr Mohd Adzreil Bakri, dengkuran dari sudut perubatan ialah bunyi yang terhasil daripada saluran pernafasan semasa seseorang itu tidur.

“Seseorang lazimnya akan berdengkur semasa tidur sekiranya dia mempunyai saluran pernafasan hidung dan tekak yang sempit. Keadaan ini boleh berlaku kepada orang dewasa dan juga kanak-kanak,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.

pic-2

 Beliau berkata terdapat dua kategori berdengkur, iaitu dengkuran biasa atau “simple snoring” dan apnea tidur.

“Dengkuran biasa merujuk keadaan dengkuran ringan, sementara apnea tidur adalah keadaan lebih serius dan berat yang boleh mendatangkan pelbagai masalah kesihatan, selain menjejaskan kualiti hidup seperti lemah daya ingatan, penurunan kualiti kerja serta impak kepada hubungan sosial,” jelasnya.

Dr Mohd Adzreil berkata dengkuran biasa tidak mempunyai gejala lain seperti kelesuan atau perasaan mengantuk berlebihan pada siang hari, dan dari segi perubatan dengkuran biasa  tidak dianggap sebagai penyakit. 

“Ini berbeza dengan apnea tidur yang merupakan gejala masalah kesihatan. Selain berdengkur, gejala lain yang dipamerkan oleh apnea tidur ialah pernafasan terhenti, pergerakan dada yang laju, pernafasan melalui mulut atau perasaan tercekik semasa tidur,” jelasnya.

 

PUNCA DENGKUR KANAK-KANAK

 

Jelas Dr Mohd Adzreil lagi, terdapat banyak faktor yang menyebabkan seseorang itu berdengkur ketika tidur, namun dalam kalangan kanak-kanak, keadaan tersebut biasanya berkait rapat dengan saiz tonsil dan adenoid yang besar.

(Tonsil merujuk tisu kecil yang terletak berdekatan pangkal lidah di kiri dan kanan mulut, sementara adenoid ialah bahagian tisu di dinding belakang hidung)

pic-3

Selain itu katanya, dengkur juga boleh berlaku pada kanak-kanak yang mempunyai resdung yang teruk, berat badan berlebihan, sindrom down dan Pierre Robin.

“Di Malaysia, kira-kira 20 peratus kanak-kanak mempunyai masalah berdengkur ketika tidur dan kebanyakan kes adalah dengkuran biasa,” jelasnya, menambah lazimnya masalah berdengkur pada kanak-kanak boleh berlaku seawal usia dua tahun.

Bagi orang dewasa pula, beliau berkata kaum lelaki lebih ramai yang berdengkur berbanding wanita dengan kebanyakan kes disebabkan oleh peningkatan usia serta berat badan berlebihan.

Ditanya sama ada masalah berdengkur dalam kalangan kanak-kanak akan berterusan hingga dewasa, Dr Mohd Adzreil berkata keadaan itu bergantung pada penyebab dengkuran.

"Kebanyakan kes dengkuran biasa disebabkan saiz tonsil dan adenoid yang besar akan pulih atau hilang apabila kanak kanak itu meningkat dewasa kerana saiz salur pernafasan lebih luas apabila usia meningkat," jelasnya.

 

BAHAYA TIDAK DIRAWAT

 

Mungkin ada yang berpandangan tidur berdengkur sebagai perkara biasa dan tidak perlu dirawat.

Berkongsi satu kes kendaliannya, Dr Mohd Azreil berkata ketika bertugas di Sabah pada 2017, beliau menerima seorang pesakit kanak-kanak berbadan agak besar yang dibawa oleh ibunya ke bahagian kecemasan hospital kerana mengalami kesukaran bernafas.

"Semasa tiba, ibu kanak-kanak itu memaklumkan anak lelakinya yang berumur lapan tahun mengalami demam, sesak nafas serta nafasnya berbunyi. Ketika kejadian kanak-kanak itu juga dalam keadaan sukar hendak bernafas.

"Rawatan terus diberikan kepada kanak-kanak tersebut, iaitu antibiotik, ubat radang untuk meluaskan salur pernafasan dan alat bantuan pernafasan CPAP/ BIPAP (satu bantuan pernafasan menggunakan tekanan saluran udara positif berterusan) turut dilakukan," katanya.

Bagi kes Isyraf Mikael, pakar perubatan itu menasihati ibu kanak-kanak terbabit agar membawa si anak berjumpa doktor.

Mengulas dengan lebih lanjut, Dr Mohd Adzreil berkata masalah berdengkur akan bertukar kepada sangat bahaya apabila kanak-kanak atau individu memiliki simptom tambahan seperti apnea tidur, sesak nafas serta pernafasan laju.

"Selain itu, perasaan terlebih mengantuk waktu siang hari atau terlebih aktif waktu siang hari boleh menjejaskan pembelajaran di sekolah," katanya.

pic-4

Ditanya tentang rawatan, beliau berkata sekiranya dengkuran disebabkan oleh saiz tonsil, pembedahan akan dilakukan bagi membuang tonsil tersebut.

 “Jika disebabkan oleh resdung, rawatan ubat atau pembedahan juga boleh dibuat,” katanya sambil menasihati mereka yang memiliki berat badan berlebihan agar menurunkan berat bagi menyembuhkan masalah berdengkur.

Beliau juga menasihati ibu bapa agar memerhatikan pernafasan anak-anak semasa tidur dan membawa mereka berjumpa doktor sekiranya mempunyai tanda-tanda di luar kebiasaan.

“Sekalipun masalah tonsil ini hanya menyebabkan dengkuran ringan, kewujudan faktor lain seperti berat badan berlebihan dan jangkitan kuman pada tonsil (tonsilitis) berisiko memburukkan lagi keadaan.

"Keadaan di atas boleh menyebabkan kesempitan salur pernafasan yang teruk dan kanak kanak tersebut perlu diberikan alat bantuan pernafasan," katanya.

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan