Oleh Siti Noor Afera Abu
KUALA LUMPUR, 14 Jan (Bernama) -- Pembaharuan adalah langkah penting untuk mengubah Malaysia menjadi ekonomi yang lebih berdaya tahan dan bertenaga yang mampu menyesuaikan diri dengan cabaran domestik dan global.
Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata walaupun pembaharuan ini mungkin membawa kepada harga yang lebih tinggi dalam jangka pendek, tetapi pelan mitigasi telah disediakan.
Ini akan dilaksanakan melalui program pemindahan tunai seperti Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA), Bantuan Awal Persekolahan (BAP), yang akan memanfaatkan pelajar tanpa mengira tahap pendapatan.
"Sekiranya kerajaan melaksanakan agenda pembaharuan, ia akan meningkatkan kredibiliti mereka dalam menguruskan kewangan negara. Ini akan diterjemahkan kepada ulasan positif daripada Agensi Penarafan Kredit (CRA)," katanya kepada Bernama.
Mohd Afzanizam percaya pelan mitigasi ini juga akan memastikan segmen-segmen masyarakat yang disasarkan mendapat bantuan dan boleh berkembang maju sepanjang tempoh peralihan ini.
Penstrukturan semula kewangan kerajaan, pengukuhan sektor-sektor utama seperti pendidikan dan penjagaan kesihatan, dan menarik pelaburan asing adalah pembaharuan yang bertujuan mewujudkan ekonomi yang lebih berdaya saing, inklusif dan saksama untuk generasi akan datang, katanya.
Jika pembaharuan kekal konsisten dan hasilnya dapat disaksikan, Malaysia boleh melihat peningkatan dalam penarafan kedaulatannya yang pada masa ini pada A-/A3/BBB+.
Tambahan pula, beliau berkata pembaharuan ini dijangka menarik lebih banyak pelaburan asing, dengan pelabur membeli lebih banyak aset-aset kewangan seperti ekuiti dan bon.
“Ini akan mewujudkan permintaan yang lebih tinggi untuk ringgit, yang boleh menyebabkan meningkatnya mata wang itu berbanding dolar AS. Akhirnya, matlamatnya adalah untuk membina ekonomi yang lebih bertenaga yang memberi manfaat kepada masyarakat secara keseluruhan.
“Bagi mencapai matlamat ini, kerajaan mesti memastikan kewangannya diurus dengan cekap supaya dapat menghapuskan pembaziran dan memaksimumkan kesan pembaharuan,” katanya.
Sementara itu, Pengarah Program Sarjana Pentadbiran Perniagaan di Putra Business School Profesor Madya Ahmed Razman Abdul Latiff berkata walaupun kos sara hidup dijangka meningkat, tetapi ia mungkin tidak ketara.
Beliau juga berkata peruntukan untuk Sumbangan Tunai Rahmah telah ditambah, menyebabkan sokongan fiskal yang lebih besar untuk isi rumah berpendapatan rendah.
Bagaimanapun, beliau menekankan perlunya pembaharuan sistem monetari, khususnya untuk mengukuh dan melindungi ringgit.
Satu pendekatan berpotensi dalam usaha itu adalah dengan melibatkan Bank Negara Malaysia (BNM) untuk memperkenalkan Mata Wang Digital Bank Pusat (CBDC), mata wang kripto berdaulat berdasarkan teknologi blockchain.
Mengaitkan CBDC dengan sekumpulan komoditi boleh melindunginya daripada spekulasi dan sentimen pasaran, yang pada masa ini memberi kesan kepada ringgit.
"CBDC yang stabil boleh meningkatkan kuasa beli rakyat," katanya.
Ahmed Razman berkata peningkatan kos pengangkutan, tenaga dan perumahan adalah isu-isu kritikal yang memerlukan perhatian segera.
Cabaran ini hanya boleh ditangani secara berkesan dengan beralih daripada ekonomi berasaskan hutang kepada ekonomi berasaskan ekuiti, yang menawarkan pendekatan yang lebih mampan.
Bagi mencapai peralihan ini, beliau mencadangkan untuk meneroka alternatif seperti pembiayaan ekuiti dan mekanisme kewangan inovatif lain untuk menggantikan pembiayaan hutang tradisional.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial